Hidup tetapi Mati


Assalamualaikum wbt. Semoga sihat.

Guru Pendidikan Khas dan Ramadhan

Sekejap sahaja masa berlalu dengan begitu pantas. Pejam celik pejam celik dah hampir 3 bulan saya jadi suami orang, sudah hampir 7 bulan saya jadi Guru Pendidikan Khas.

Mengajar Murid Berkeperluan Khas sangat mencabar minda kesabaran. Keperluan untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran sangat perlu. Kejap tukar kaedah ini, kejap pakai kaedah itu. Juga memerlukan stamina yang agak tinggi lagi-lagi bila berhadapan dengan Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang merupakan penghidap ADHD (Attention Deficit Hyperactive Disorder) yang sangat cergas dan penuh tenaga.

Dugaan Allah bertambah hebat. Aku cemburu melihatkan sahabat sepengajian yang belajar mengajar sambil ditemani guru pembimbing mereka, tetapi guru pembimbing aku ada seperti tiada. Seorang yang berusia emas dan akan pencen mungkin tahun depan dan mempunyai masalahnya sendiri. Kena banyak bertanya dari sahabat2 sepengajian dan kawan-kawan sekerja.

Ramadhan yang mendatang menguji kesabaranku dan ketahanan mental dan fizikal. Dalam menghadapi cabaran hidup, pengalaman kali pertama antara perkara yang aku sangat ambil kira dan berikan penekanan. Semoga bulan Ramadhan yang menjelma memberikan aku kekuatan fizikal dan mental di samping tugas-tugas dakwah yang bertambah.

Ambil kata Ust Adlan buat semangat.

” Jadi Guru Pendidikan Khas ini walaupun orang tak pandang, tetapi pahala sangat banyak. Besar pahala membangunkan agama di kalangan golongan Orang Kurang Upaya(OKU), cuma kena ikhlas dan selalu perbaiki niat. “

Asam Garam Perkahwinan

Tahun pertama perkahwinan merupakan tahun yang agak getir dan kritikal bagi sesebuah perkahwinan, kerana masing-masing banyak belajar dalam menangani kehidupan seharian sebagai orang yang berstatus baru dan masalah dengan perangai masa bujang. Mesti rajin baca buku, bersabar dan saling memahami pasangan.

Allah takdirkan kami duduk berjauhan pula. InsyaAllah, selepas kesusahan itu pasti akan datangnya kemenangan dan pertolongan.

Isu Mesir

Ramai sahabat bertanyakan kepada saya berkaitan isu Mesir, lagi-lagi mereka yang berstatus ikhwan + salafi sikit. Mungkin sebabnya mereka melihat saya sudah mengalami terlebih dahulu. Saya cuba untuk memperhalusinya dan mengupasnya mengikut poin agar mudah difahami.

1. Kita fahami isu di Mesir ikut kehendak rakyat Mesir, bukan kehendak kita kemudian digoreng sesedap rasa. 

Kita melihat apa yang berlaku di Mesir seolah-olah Morsi tidak mempunyai apa-apa kesalahan. Tapi kita perlu fahami ia mengikut kehendak rakyat Mesir, bukan mengikut kefahaman fikrah IM kita. Rakyat yang dihimpit kesusahan dengan cukai yang tinggi, keperluan asas yang tiada dan kehidupan yang mendesak akan bangkit melawan penguasa yang soleh dan hafiz.

Iya kesalahan ada pada Ikhwan, tetapi membantu untuk membenci mereka itu kesalahan yang lebih besar.

Kita berharap kepada kejayaan mereka, kita bersedih di atas kegagalan mereka. Ini betul. Hati Islamis mana yang tidak sedih melihatkan seorang pemimpin yang sah dilantik dirampas kuasanya dan digantikan oleh penguasa sekular?

Kesalahan mereka diambil peluang oleh musuh-musuh Islam dan akhirnya tentera campur tangan. Ya Allah, peliharalah Mesir dan ahlinya dan ulamanya.

2. Ya Allah, Kami melihat betapa berpecahnya kesatuan di dalam hati2 kami, dan betapa bersatunya musuh2 kami di atas kami.

Di sini kita perlu menghalusi lagi beberapa golongan yang kita anggap sebagai satu golongan. Kenyataan Khadim a-Haramayn, pemimpin Saudi bukanlah mencerminkan kenyataan ulama-ulama Saudi, bahkan Shaykh Khaslan, ahli Haiah KSA sendiri dan beberapa shaykh lain berlawanan kenyataan mereka dengan Khadim. Mereka membantah dan bersedih dengan apa yang berlaku di Mesir.

Hizb Nour bukanlah satu-satunya parti salafi dan mencerminkan keseluruhan golongan salafi di Mesir. Beza antara dakwah Salafyah dan Hizb Nour (Parti Nour).

3. Kita tidak sepatutnya mendidik masyarakat untuk menjadi gopoh dalam membuat perubahan, sebaliknya perubahan itu perlu dilakukan dengan berperingkat2.

Poin yang ketiga berkaitan isu demonstrasi. Bagi saya sendiri, demonstrasi itu berubah hukumnya mengikut keadaan dan tidak statik. Mungkin dibolehkan jika ia dilakukan oleh warganegara yang bertamadun tinggi, mempunyai adab kesopanan dan mementingkan penjagaan alam persekitaran yang tinggi.

Pendapat peribadi saya, Malaysia tidak sesuai lagi untuk berdemonstrasi ini kerana ramai lagi yang masih tidak mencapai syarat yang saya ulaskan di ayat di atas. Contoh terbaru kita boleh video sekumpulan anak muda yang membahayakan diri menghalang laluan keretapi padahal demonstrasi hanya di atas jalanraya. Iya ia memang dilakukan oleh segelintir orang sahaja, tetapi unsur2 ketidakpastian itu tetap ada. Unsur yang membawa kepada kerosakan itu apabila ia ada ia menyebabkan hukum berubah. Apatah lagi melakukan kerosakan yang besar dan mudah dinilai.

Demonstrasi sendiri sebagai salah satu cara kita mendidik masyarakat tergopoh gapah dalam membuat perubahan. Adakah nanti apabila pemimpin yang naik tidak dapat membuat pembaharuan dalam jangkamasa yang diinginkan oleh masyrakat yang menginginkan pembaharuan dengan cara tergopoh, maka akan berlaku lagi revolusi dan demonstrasi untuk menumbangkan pemimpin baru tersebut.

Bagi setiap perkara dari perspektif maqasid ada pertimbangan kebaikan (maslahah) dan keburukannya (mafsadah). Jika keburukan itu terlalu banyak, maka boleh diambil tindakan berdasarkan keburukan yang lebih sedikit.

4. Kita berserah dan bertawakal kepada Allah, Allahlah sebaik2 tempat berlindung dan berserah, bukan Morsi dan Erdogan, bukan Khadim al-Haramayn dan Majlis Keamanan Dunia.

5. Demonstrasi aman, revolusi dan rampasan kuasa adalah perkara yang berbeza.

6. Ulama yang berijtihad dan dia salah, maka dia beroleh satu pahala, jika dia berijtihad dan dia betul, maka dia beroleh dua pahala.

7. Ada manusia yang mentaati pemerintah yang naik secara rampasan kuasa, dan ada manusia yang mentaati pemerintah yang dilantik secara sah. Semua itu ada timbangan maslahah dan mafsadahnya yang perlu diteliti sebaik mungkin.

Adapun berkaitan ini, saya beranggapan akan ada golongan yang segera membaiah dan mentaati pemimpin baru yang naik secara rampasan kuasa ketika fitnah rancak berlaku kerana mereka ingin mengurangkan mafsadah yang sedia ada. Seperti orang yang berundur dari medan peperangan kerana merasakan jika berperang akan mengalami kekalahan, sebaliknya berundur dan meakukan persiapan untuk menghadapi perang itu.

Sejujurnya ini bukanlah yang paling tepat. Allah sahaja yang mengetahui. Namun tidak dinafikan tampuk kepimpinan itu sendiri mempunyai maslahah yang besar yang terkandung di bawahnya maslahah2 yang besar yang lain. Contoh termudah kesatuan umat dan keamanan sejagat yang memungkin bolehnya bekerja, bersekolah, beribadat dan lain2.

Allahua’lam.

Selamat Membuat Persediaan Menghadapi Ramadhan. Mohon doakan saya agar saya dapat memasuki masayarakat dan bermuamalah dengan mereka dengan baik walaupun perbezaan kami sangat jauh. Doakan saya agar tegar di atas sunnah walaupun kekadang meniti jalan antara tasamuh dan tasyaddud dan tasahul. Allahua’lam.

Saya hamba yang lemah dan muda hijau dengan pengalaman. Terima kasih pada orang tua yang bijaksana.

Asam Garam Seorang Graduan Agama.

Masuk bersama masyarakat terutamanya ditempat kerja mengajar aku banyak perkara terutamanya tentang kebenaran dan teguh di atas prinsip. Ada di antara mereka bertanyakan kepadaku beberapa perkara yang hampir kepada haram dan syubhat, dan aku menjawabnya dengan baik, jelas dan diselangi dengan penerangan tentangnya. Hinggalah akhirnya terkeluar ucapan yang agak mengguriskan hatiku.

” Tak payahlah tanya ustaz tu, asyik tak boleh je, bila nya nak boleh tak tahu lah”.

Baru jumpa seorang makcik mengadu pasal menantunya ustaz. Katanya ustaz agak syadid. Dia tanyakan padaku adakah kebanyakan ustaz fikirannya sebegitu. Syadid syadid syadid. Sana tak boleh sini tak boleh. Bila tanya soalan, katanya tunggu sekejap. Lepas diceritakan dan diterangkan akhirnya kesimpulannya tidak boleh. Aduh, aku sudah garu kepala.

Barangkali untuk pembaca bertaraf pak cik atau makcik, aku nak sarankan kepada mereka, jika rasa tak prihatin terhadap hukum hakam atau memandang ringan hukum agama, tak payahlah nak ambil menantu orang graduan agama, nanti susah jadinya. Nak buat macam-macam tapi tak boleh.

Ada kemungkinan ustaz itu syadid atau tidak, boleh dilihat dari banyak faktor. Tapi bagi aku kalau perkara yang menghampiri haram atau syubhat yang nak hampir kepada haram atau perkara itu jelas ada larangan dari Nabi SAW, memanglah jawapannya tidak boleh. Pusinglah ikut mana pun, memang tidak boleh. Wallahua’lam.

Di pihak aku sendiri, aku sedang cuba untuk berteguh dengan pendapat agama yang aku yakini, namun mesti juga bersifat terbuka dan mendengar penjelasan banyak pihak. Proses tarbiyah bukan sesuatu yang mudah dan segera. Mentarbiyah isteri, keluarga isteri , mertua dan sebagainya yang memang datang dari persekitaran dan asal yang berbeza.

Saya tidak mahu jadi Graduan Agama yang belajar 4-5 tahun ilmu agama, tetapi apabila berkhutbah berdasarkan sebuah kertas yang boleh dibaca oleh seorang penjual nasi lemak atau orang awam. Saya juga tidak mahu menjadi graduan agama yang menjual agamanya dengan harga yang murah, seperti mencedok air tasik Darul Quran dan menjualnya kepada orang ramai atas nama air ajaib dan bermukjizat. Saya juga tidak mahu jadi graduan-graduan agama yang hebat ketika belajar dan kepimpinannya, tetapi apabila masuk ke alam pekerjaan, hanya memikirkan bini yang cantik, rumah yang besar dan kereta yang hebat dan akhirnya dia dicampakkan ke dalam tong sampah keduniaan dan nikmatnya dan ilmu agamanya hanya sekadar ilmu orang langit yang tidak sesuai atau tidak diajari kepada orang bumi.

Ya Allah tanda-tanda itu kian jelas baik di kalangan senior dan junior saya sendiri. Saya tidak mahu seperti itu

Wassalam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s