Diari Akhir Ramadhan 2012


Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah kerana masih hidup di dalam Iman dan Islam. Ramadhan tahun ini mengajar saya banyak perkara. Ada beberapa perkara yang sudah selesai. Ada misi dan tujuan yang masih tertangguh. Ada pilihan yang sudah menemui maksudnya. 

Belajar banyak benda. Belajar untuk rasa sedikit kasihan kepada orang awam yang menjadi mangsa perbezaan fahaman agama, belajar untuk sabar disindir secara terang-terangan oleh ustaz taasub mazhab Syafie, belajar duduk depan dan bagi tazkirah, belajar jadi penterjemah.

Alhamdulilllah

Kehebatan Al-Quran

Saja nak petik kalam Shaykhul Islam yang indah dan menusuk hati ini tentang Al-Quran. Selamat mengkhatamkan Al-Quran.

Berkata Ibnu Taymiyyah rahimahullah,

Sesungguhnya Al-Quran membenarkan segala yang terdapat dalam kitab-kitab yang terdahulu tentang Allah dan Hari Kiamat dengan menambahkan lagi hujah dan dalil. Ia juga menerangkan bukti tentang kesemua itu. Ia membenarkan tentang kerasulan semua rasul dan kenabian semua nabi. Ia juga menetapkan perundangan syariah dengan dalil dan bukti yang nyata, menerangkan hukuman Allah atas mereka yang menolak kitabnya dan pertolonganNya kepada mereka yang mengikuti ajarannya.

Ia juga menerangkan perubahan dan pertukaran yang telah dilakukan terhadap kitab-kitab tersebut dan tindakan yang telah dilakukan oleh ahli kitab yang terdahulu terhadap kitab mereka. Ia juga menerangkan perkara yang mereka telah sembunyikan daripada perkara yang sebenarnya Allah perintahkan untuk dijelaskan. Ia juga mengandungi semua kebaikan perundangan dan peraturan sebagaimana yang telah diturunkan kepada para nabi yang terdahulu. Al-Quran telah menjadi saksi dari pelbagai sudut kepada semua kitab yang diturunkan terdahulu daripadanya. Ia membuktikan kebenaran mereka dan menjadi saksi kepada kepalsuan dan pertukaran yang telah dilakukan terhadapnya. Ia telah membenarkan segala yang telah Allah tetapkan dan menghapuskan segala yang Allah mansuhkan.

Al-Quran adalah saksi kepada khabar berita ( yang terdapat di dalam kitab-kitab yang terdahulu) dan menjadi hakim kepada segala suruhannya. Jika seseorang itu mengkaji pendapat atau kata-kata generasi yang dulu dan kini tentang Usuluddin, ilmu ketuhanan, Akhirat dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kenabian, moral, politik, ibadat dan lain-lain aspek kehidupan manusia, yang boleh membawa kepada kesempurnaan, kebahagiaan dan kejayaan, mereka tidak akan mendapatinya samada dari generasi dahulu atau sekarang, dalam kalangan nabi atau para cendekiawan, kecuali sebahagian daripada penerangan yang dibawa oleh al-Quran.

Majmuk Fatawa Ibnu Taymiyyah 17/44-45.

Faqih dan Safih

Nur(satu cahaya) dan zulumat (kegelapan yang banyak)

Ciri-ciri Seorang Faqih di Dalam Agama.

إنَّ ممَّا يشرحُ الصدر: كثْرةُ المعرفةِ، وغزارةُ المادّةِ العلميَّةِ، واتِّساعُ الثقافةِ، وعُمقُ الفكرِ، وبُعدُ النَّظْرةِ، وأصالةُ الفهْمِ، والغوْصُ على الدليلِ، ومعرفةُ سرِّ المسألةِ، وإدراكُ مقاصدِ الأمورِ، واكتشافُ حقائقِ الأشياءِ

Antara yang melapangkan dada ialah banyaknya ilmu, melimpahnya pengetahuan, luasnya worldview, mendalamnya pemikiran, berpandangan jauh, memahami dari asas-asasnya, mengetahui masalah secara mendalam, mengetahui apa yang tersembunyi di sebalik masalah dan menyingkap hakikat akan segala sesuatu.

Kredit kepada Tuan Hasan.

Orang Safih yang Memegang Harta.

Orang Safih ini maksudnya orang yang bodoh.

Ramai pelajar luar negara diberi wang yang banyak sewaktu belajar. Saya tidak terkecuali daripada mereka. Saya pernah terketar memegang duit yang bernilai ribuan ringgit.

Ada di antara mereka yang membelanjakan duit itu dengan penuh pembaziran seperti orang bodoh yang membelanjakan hartanya. Ada seorang anak yang dengan nikmat Allah, banyak hartanya, tetapi walinya pula yang menjadi orang safih, membelanjakan harta anaknya dengan alasan anaknya kecil lagi, sedangkan di dalam Islam, duit seorang anak itu tetap haknya dan jika ibubapa ingin menggunakannya, maka dia menggunakan sekadar keperluannya. Dan apabila anak itu sudah mampu untuk menguruskan wang itu, maka wang itu diberikan kepada anak tadi yang berhak ke atasnya.

Pengalaman saya beriktikaf di masjid, tidur dan beribadat dengan orang yang pelbagai banyak mengajar saya erti kehidupan. Saya berjumpa dengan seorang ayah yang bercerita tentang perkara ini. Katanya ramai anak-anak derhaka ketika mereka besar kerana kesalahan ibu bapa mereka. Antaranya ibu bapa yang memandang remeh harta anak tadi seolah-olah harta anak itu hartanya juga. Sehingganya katanya lagi, Allah menggantikan kasih anak itu dengan hartanya yang diremehkan oleh kedua ibu bapa tadi. Barangkali ia sebuah perkongsian yang hebat kesannya pada diri saya. Belum masuk keadilan dalam pendidikan anak-anak, ambil berat soal halal haram, perkara syubhat dan sebagainya.

Benarlah kata Dr Uqlah sewaktu Fiqh Mentaati Pemerintah di PWTC tempohari,

Berapa buah buku tarbiyah yang dibaca oleh ibu bapa yang ingin mendidik anak mereka dengan pendidikan Islam?

Berapa buah buku dakwah dan buku agama yang dibaca oleh bakal ibu dan bakal bapa sebelum mereka dikurniakan anak, oleh bakal suami dan isteri sebelum mereka mendirikan rumah tangga, oleh para duat dan aktivis sebelum mereka memasuki dunia dakwah dan perjuangan?

Berapa ramai duat atau pendakwah yang ingin melahirkan generasi Quran yang tidak memahami bahasa Arab sedangkan bahasa Arab itu bahasa al-Quran?

Benarlah kata-kata ini,

Orang yang tiada apa-apa tidak mampu untuk memberi apa-apa.

Dunia itu dan bala serta kerosakan yang ada padanya. Ditambah lagi dengan orang-orang jahil, fitnah-fitnah yang datang bertandang dari sebesar-besar fitnah sehingga sehalus-halus fitnah, perkara yang melalaikan dari sebesar-besarnya sehingga sekecil-kecil kelalaian seperti bermain facebook dengan menggunakan gajet canggih ketika mendengar khutbah Jumaat.


Adakah Allah akan menggantikan generasi yang mulia dan beriman itu dengan generasi yang hina dan fasiq, melakukan dosa-dosa besar, menjadi sekular, agamanya selapis kulit bawang dan seterusnya dicabut agama itu dari hatinya?

Ya Allah. Kau Maha Mengetahui.

Saya masih mengejar baki-baki Ramadhan.

Masih banyak pelajaran yang belum diterokai. Masih banyak pengalaman-pengalaman baru yang belum dicari. Selamat mencari erti diri dan selamat membersihkan jiwa dalam madrasah tarbiyah Ramadhan.

Wassalam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s