Ke Arah Kepimpinan Pemuda Islam Masa Hadapan


Oleh Dr. Md. Uqlah al-Ibrahim, 
Dekan Syariah Universiti Yarmouk.

Saya kenal Dr. Md Uqlah ini dari tulisan-tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dan buku puasa beliau. Di dalam entri ini saya hanya menulis beberapa point penting dari tulisan dan syarahan beliau ketika saya menghadiri Seminar Fiqh Mentaati Pemerintah di PWTC. Jazakallahu khaira l-jazak kepada Dr. Fadhlan dan beberapa sahabat atas bantuan seperti penginapan hotel dan sebagainya. 

Fikri : Sambil-sambil tidur berseorangan dalam bilik, saya teringat kenangan masa belajar dahulu, pernah menetap di sebuah hotel yang harga 799 Riyal Qatar dan kini tidur di sebuah apartmen suite yang harganya hampir RM900 untuk satu malam.

Beberapa Point Penting

Saya tertarik dengan Wacana Ilmiah tulisan Thomas Fredman yang disiarkan di dalam akhbar al-Ghad, Jordan keluaran 21 Jamadil Akhir 1433 Hijriah bersamaan 13 Mei 2012 yang mana Thomas Fredman menulis di dalam artikelnya, 

Apabila aku bermusafir dan berkelana di Tanah Arab, aku terkejut apabila mengetahui kurangnya pemuda yang baharu di dalam tampuk kepimpinan sewaktu pilihanraya kali ini. 

Beliau berkata lagi,

Aku tidak maksudkan kepimpinan itu adalah orang yang menjadi calon pilihan raya sahaja, tetapi apa yang aku maksudkan dengan pemimpin ialah pemuda dan pemudi yang mempunyai sensitiviti untuk mengangkat Syariah dan yang punya kemahuan untuk berkata benar dalam masyarakat mereka serta bangkit membina masa hadapan yang diharapkan mampu memajukan sesebuah bangsa.

Tambah beliau lagi,

Sesungguhnya negaraku, Amerika dan sekitar Eropah juga dihantui masalah yang sama, kelompongan pemuda yang sewajarnya menjadi pemimpin.

Fikiran saya berputar kepada perbualan antara Amirul Mukminin, Umar al-Khattab dan beberapa sahabat lain ketika mana beliau bertanya kepada sahabat,

Jika pintu langit terbuka, dan pada malam Lailatul Qadar dan kau telah mengetahui bahawa ada saat di mana apabila engkau meminta permohonan, maka permohonan itu akan dikabulkan, maka apakah permintaan yang engkau pohonkan daripada Allah?

Beberapa orang sahabat mengatakan mereka inginkan harta yang banyak untuk diinfaqkan di jalan Allah, memiliki ilmu yang hebat untuk diajarkan kepada manusia, menyatakan keinginan untuk mempunyai keikhlasan dan kesabaran dalam beribadah kepada Allah, maka apabila tiba giliran Umar, beliau berkata,

Aku bercita-cita agar Allah memberikan aku pemuda-pemuda yang hebat seperti Khalid bin al-Walid, Abu Ubaidah, dan ‘Amir bin al-Jarrah agar aku dapat mengembangkan Islam melalui mereka.

Fikri : MasyaAllah, dahsyat betul permohonan/doa sahabat-sahabat ini. Besar jiwa mereka.

Pertama : Kepimpinan dalam Islam

Definisi Kepimpinan

Dari segi bahasa bermaksud , memimpin tentera agar arahannya dituruti, tunduk dan patuh, manakala al-Qaid pula ialah orang yang memimpin tentera dan sebagainya.

Dari segi istilah pula bermaksud, Seni yang memberi kesan kepada pemikiran mereka, tujuan mereka, yang menjadikan mereka patuh kepada pemimpin mereka dan memberikan segala yang termampu daripada kudrat mereka untuk merealisasikan apa yang diperintahkan bagi mendapat keredhaan dan ketenangan jiwa.

Kepimpinan di dalam konteks Islam ialah kemampuan individu yan mempunyai sifat-sifat Islami yang diinginkan dalam memberi kesan terhadap sikap orang lain dan memerintah dengan cara Islami demi merealisasikan matlamat yang digariskan oleh Islam.

Tidak lengkap kepimpinan itu tanpa 4 perkara,

  1. Pemimpin : Bertindak sebagai pemegang amanah dan tampuk kepimpinan utama yang mestilah menepati ciri-ciri yang sewajarnya ada.
  2. Jemaah/masyaarakat : Bertindak sebagai pengikut, dan pelengkap kelompok masyarakat seperti keluarga, pekerja, dan sebagainya.
  3. Matlamat : Sesuatu yang disusun dan pemimpin itu haruslah berusaha untuk mencapainya demi kemaslahatan umum.
  4. Strategi dan Kaedah : Langkah dan cara yang disusun sang pemerintah ke atas apa yang ditadbir.
Dan perkara-perkara di atas perlulah disusun berlandaskan syariat Islam dan dimasukkan Ruh Islam di dalamnya yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan Utama.
Kedua : Kepentingan Memimpin
Memimpin mempunyai kepentingan yang sangat besar dalam Islam dan pentingnya sifat ini sehingga ia banyak disebut dalam al-Quran dan hadis tentang kepimpinan dan memimpin.Firman Allah,

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. [Surah al-Nisa ayat 59]

Sabda Nabi Sallallahu-Alayhi-Wasallam,

“Jika tiga orang keluar dalam sebuah perjalanan, hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka untuk menjadi pemimpin.” (Riwayat Abu Daud) 

Dan kepentingan itu dapat dijelaskan melalui perkara-perkara berikut,

1. Sesungguhnya mempimpin ialah cara untuk menyusun urusan dan sesuatu masyarakat dan memperkemaskan hubungan mereka, menyatukan suara mereka dan mengelakkan berlakunya perpecahan dan keretakan di dalam saf mereka.

Berkata As-Syaukani yang maksudnya seperti berikut,

Kerana ada pada ketua dan pemimpin itu, selamatnya daripada salah faham yang membawa kepada talaf – kerosakan dan kegagalan – dalam mengetuai yang menjadikan seseorang bertindak di atas pandangannya sendiri, dan membuat sesuatu yang dipersetujui oleh hawa nafsunya maka musnahlah mereka, dan dengan kepimpinan itu kuranglah salah faham dan bersatulah pendapat.

Berkata Shaykhul Islam Ibnu Taymiyyah,

Sesungguhnya memimpin urusan manusia adalah kewajipan agama yang terbesar bahkan tidak terbangunnya sesuatu agama melainkan dengannya. maka sesungguhnya maslahah anak Adam itu tidak sempurna melainkan dalam jemaah kerana mereka memerlukan satu sama lain. Maka setiap jemaah itu memerlukan kepala untuk mengetuai mereka.

2. Sesungguhnya memimpin adalah sebahagian daripada cara dari kehidupan yang disitu gerak kerja direalisasikan dan di situ telah bermulanya contoh teladan bagi masyarakat Islami. Maka kepimpinan dari kaca mata Islam itu bukanlah sekadar kemuliaan bahkan sesuatu yang dipertanggungjawabkan dan dipersoalkan dan amanah itu merantai leher orang yang memegangnya, ini dapat dilihat dengan jelas dalam hadis Rasul Allah Sallallahu-Alayhi-Wasallam kepada Abu Dzar Radiallahu anh,

Wahai Abu Dzar, Sesungguhnya kamu itu lemah dan sesungguhnya ini adalah amanah dan sesungguhnya amanah ini pada haria kiamat suatu penyesalan kecuali bagi orang yang mengambilnya dan menyelesaikan haknya serta menunaikan apa yang ada di dalamnya.

Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain : Daripada Abu Zar, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim.” [Riwayat Muslim dalam Sahihnya]

3. Islam memandang kepimpinan seabgai satu perkara yang sangat penting. Ia asas dalam pembentukan ummah dan kecuaian dalam memimpin membawa kepada kemusnahan dan kehancuran sesebuah masyarakat. Oleh kerana itu tampuk tidak diserahkan melainkan kepada yang berhak dan berkelayakan sahaja dan bagi pemuda-pemuda yang dianugerahkan kemampuan memimpin oleh Allah Subhanahu Wa Taala.

Firman Allah Subhanahu Wa Taala,

Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah merupakan “satu umat” (walaupun Ia seorang diri); ia takat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid; dan ia tidak pernah menjadi dari orang-orang yang musyrik. [Surah an-Nahl ayat 120]

Firman Allah Subhanahu Wa Taala,

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”  [Surah al-Baqarah ayat 124]

Dari ayat ini, kita dapat simpulkan kemampuan Ibrahim menjadi pemimpin yang berjaya tidak terjadi dengan sendiri mahupun atas dasar kemuliaannya tetapi ianya terhasil dari keyakinannya kepada Allah yang tidak berbelah bahagi serta berpegangnya Ibrahim pada janji kepada Tuhannya dan iltizamnya dalam menegakkan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala di dunia ini.

Berkata Syed Qub ,

Ingatlah kamu setiap apa yang diberikan oleh Allah daripada ujian yang menimpa Ibrahim dengan kalimah daripada perintah dan larangan, maka Baginda diuji setelah Allah memperlihatkan bagaimana Ibrahim berpegang kepada janjinya dan tetap melaksanakan perintah Allah bagi mencapai redhaNya. Allah telah memujinya dengan berfirman,

Dan juga (dalam Kitab-kitab) Nabi Ibrahim yang memenuhi dengan sempurnanya (segala yang diperintahkan kepadanya)? [Surah An-Najm ayat 37]

 Dan inilah makam tertinggi, makam yang diberikan kepada Ibrahim, makam bagi orang yang menepati janji bersaksikan Allah, maka Allah menjadikannya pemimpin bagi diambil menjadi qudwah (ikutan) dan membawa mereka kepada Allah dan memimpin mereka ke arah kebaikan dan menjadikan mereka pengikut dan menjadikan Ibrahim sebagai Qudwah dalam memimpin.

Sesungguhnya perkara pertama yang membolehkan Ibrahim mendapat gelaran pemimpin dan imam daripada Allah ialah menepati janjinya kepada Allah dan taat yang tidak berbelah bahagi kepada Allah dan istiqamahnya baginda dalam menegakkan manhajnya.

Asas-Asas dalam Kepimpinan

1. Amanah

Sesungguhnya amanah ialah asas pertama yang melayakkan seseorang itu menjadi pemimpin sebagaimana hadis Nabi dengan Abu Dzar tadi. Dan baginda menyatakan kesan apabila hilangnya amanah dalam kepimpinan jika jatuh kepada orang yang tidak berhak menjadi pemimpin sebagaimana hadis Rasul Sallallahu-alayhi-wasallam,

Apabila tampuk kepimpinan itu jatuh kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah hari pembalasan. 

2. Keadilan

Sebagaimana yang diterangkan sebelum ini pada surah al-Baqarah ayat 124,

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”  [Surah al-Baqarah ayat 124]

 Allah telah menjawab dengan menggariskan satu kaedah utama ; Sesungguhnya amanah itu hanya untuk mereka yang berhak melalui amalan dan kepercayaannya, bukanlah dengan warisan melalui keturunan. Dan kepimpinan itu menjadi suatu larangan terhadap orang-orang yang zalim dari semua sudut kepimpinan samada dalam berdakwah atau mentadbir merangkumi semua sudut kepimpinan.

Keadilan pada segenap erti kata adalah asas dalam merealisasikan kepimpinan ini daripada suatu bentuk keadaan kepada bentuk yang lain. Dan barangsiapa yang melakukan kezaliman maka dia telah menjauhkan kelayakan kepimpinan itu dari dirinya.

Kata Syaikh Syed Ridha di dalam Tafsir al-Manarnya,

Aku telah mengabulkan permintaan kau dan akan aku jadikan keturunan kau ketua sekaligus ikutan kepada sekalian manusia. Namun perjanjianKu ini (iaitu kepimpinan) tidak bakal dimiliki oleh golongan yang zalim kerana mereka bukanlah golongan yang boleh dijadikan ikutan, sesungguhnya aku jadikan halangan kelayakan mendapat jawatan kepimpinan ini secara mutlak adalah kezaliman, supaya keturunan Nabi Ibrahim menjauhkan diri daripadanya, mengelak daripadanya dan mendidik anak-anak mereka untuk membencinya supaya mereka tidak terjatuh ke adalamnya. Dengan itu, golongan yang zalim diharamkan daripada kedudukan yang agung ini. Begitu juga untuk mendorong manusia supaya menjauhi kezaliman dan tidak tergolong dalam golongan ini.

Barangsiapa yang menzalimi kaum mukminin bukanlah orang yang layak memimpin kerana mereka merupakan seburuk-buruk contoh yang bakal merosakkan agama dan kehidupan orang lain.

Seorang ketua atau pemimpin dilantik untuk menegakkan keadilan, firman Allah 

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. [Surah an-Nisa ayat 58]

3. Sabar dan Berkemampuan untuk memikul bebanan.

Allah menerangkan tentang kepentingan sifat ini bagi mereka yang telah terpilih untuk memikul tanggungjawab ini dalam kisah Bani Israel sebagaimana firmanNya,

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.

Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. [Surah as-Sajdah ayat 23 dan 24]

Allah menerangkan bahawa para pemimpin yang bersifat sabar dalam berdakwah di jalan Allah dan sanggup memikul bebanan serta tanggungjawab kepimpinan itulah yang telah melayakkan mereka diangkat menjadi pemimpin.

Menurut Ibnu Abbas,

Apabila mereka mempunyai perkara asas iaitu sifat sabar, maka Allah jadikan mereka para pemimpin.

Ibnu Azra’ telah berkata : Perlunya seorang pemimpin berakhlak dengan akhlak murni adalah untuk beberapa kepentingan;

  1. Bagi mendapat kekuatan yang jelas dengannya. Menurut Ibnu Zhaffar ; kekuatan terbahagi kepada tiga iaitu, kekuatan kewarasan yang bakal membuathakan sifat kemaafan, kekuatan menjaga dan mengawal yang menghasilkan pemerintahan kerajaan dan kekuatan keberanian yang melahirkan seorang yang tetap pendiriannya.
  2. Bagi mewujudkan rasa tanggungjawab memikul kepenatan kepimpinan. Bak kata pepatah Arab, ” tiada pekerjaan yang lebih sukar daripada memimpin manusia ” . ” Ketua kaum merupakan orang yang paling sulit kerjanya dalam kalangan orang ramai ” dan pepatah yang berbunyi ” Raja-raja meminta kesenangan, namun hanya kepenatan yang diperolehinya. “
4. Yakin kepada Allah 
Firman Allah SWT,
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami. [Surah as-Sajdah ayat 24]
Menurut Ibnu Kathir,
Para ulama telah memberi pendapat bahawa dengan bersabar dan yakin, seseorang itu pasti mendapat kelayakan untuk menjadi pemimpin dalam agamanya.
Menurut al-Jurjani,
Yakin dari sudut istilah ialah mempercayai tentang sesuatu perkara seadanya, sepertimana mempercayai bahawa suatu perkara itu tidak akan berlaku tanpanya, menepati realitinya, sesuatu yang tidak mungkin hilang. Sebagai contoh, melihat perkara ghaib menerusi kesucian hati, memerhati perkara rahsia dengan penjagaan ideologi, melihat sesuatu perkara menerusi penglihatan iman dan ghaibnya keraguan terhadap perkara ghaib.
Maka bagi seorang pemimpin itu , mereka yang mantap pendirian dari segi keimanannya, kepercayaannya terhadap pengabdian kepada Allah, keEsaanNya pada Asma’ dan SifatNya, mempercayai bahawasanya Allah yang berhak disembah dan diberi penyerahan diri.
 
Dan sesungguhnya keraguan pada iman hanya akan membuahkan pendirian yang tidak tetap dan akhlak yang buruk. dan hal ini merupakan petanda kelemahan yang tidak patut sama sekali wujud bagi seseorang lebih-lebih lagi seorang pemimpin.
5.  Kesederhanaan, kestabilan dan keseimbangan.
Sesungguhnya Allah SWT ketika menjadikan ummat Islam sebagai umat risalah yang terakhir, dia telah memberi tanggungjawab memimpin urusan kemanusiaan dengan apa yang hambaNya miliki dariapda cara-cara yang benar, lengkap dan merangkumi semua perkara.
Firman Allah SWT,
Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. [ Surah al-Baqarah ayat 143]
Telah diperkatakan tentang hakikan umat yang besar di alam ini, tentang tugasnya dan peranannya yang besar di atas muka bumi ini, tentang kedudukannya yang agung pada sisi kemanusiaan, dan tentang peranannya utamanya dalam hidup manusia, sesungguhnya umat ini telah menjadi saksi kpada seluruh manusia, dengannya juga boleh menegakkan keadilan dan kayu ukur serta memberi nilai-nilai murni kepada mereak, umat jugalah yang menilai kefahaman dan budaya mereka(para pemimpin) seterusnya memutuskan bahawa ianya benar atau batil.
Fikri : Sambung bahagian ke 2. Wallahua’lam.
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s