BERSIH 3.0


Assalamualaikum wbt.

Lihatkan tajuknya, mungkin pembaca mengagak kisah yang akan ditulis sudah lambat dari sepatutnya. Namun, itulah yang sebenar terjadi pada saya. Kebelakangan ini, hujung minggu sentiasa penuh dengan kuliah-kuliah ilmu. Seminggu selepas Bersih saya sempat menghadiri MUKIM 2012 anjuran WAMY. Rancangan untuk hujung minggu kali ini tidak pasti lagi. Isnin masih awal, tapi biasanya hari Rabu dan Khamis sudah banyak maklumat-maklumat tentang kuliah-kuliah ilmu yang tajuknya sangat menarik hati, ditambah lagi dengan panel dan penceramahnya. 


Minat Politik

Saya bukan pentaksub politik, malah saya agak pasif dengan isu-isu politik. Anggaplah saya dahulu golongan ke-4 dalam 4 golongan yang berbeza respon mereka terhadap politik tanahair. Ada golongan yang taksub kepada golongan pemerintah, ada yang taksub kepada golongan pembangkang, ada yang menjadi civil servant, non partisan tetapi boleh dikatakan arif tentang politik, dan yang keempat, golongan yang wujud hasil daripada rasa putus asa atau meluat dengan isu-isu politik. Juga saya pembenci demokrasi.

Namun, Arab Spring yang melanda sekitar negara-negara Islam Timur Tengah menarik minat saya. Rakyat yang bangkit hasil dari putus asa terhadap harapan untuk melihat pemimpin yang jahat kembali menjadi baik, bangun dan memberontak dan mengukir tampuk pemerintahan dengan cara mereka yang tersendiri. Revolusi yang membawa manfaat yang banyak dari keburukannya. Semoga Allah mengampuni ruh Bouazizi si Tunisi.

Senario politik di Mesir tambah menarik minat saya. Bagaimana golongan salafi yang asalnya bencikan demokrasi, belajar dengan hebat, menyesuaikan diri dengan cepat, selepas mereka melihat ruang yang sangat banyak yang boleh diambil peluangnya di dalam demokrasi. Senang cerita, Arab Spring banyak mengubah pandangan kumpulan pro-jihadi atau mereka yang bencikan demokrasi untuk bersikap lebih lunak dan menghalusi atau menilai kembali pandangan mereka terhadap demokrasi.

Bermula dengan penglibatan saya di dalam Sekolah Politik Level 1 dan 2, dan insyaAllah level 3. Target saya bukan untuk menjadi penyokong atau pentaksub kepada mana-mana pihak baik di sisi pembangkang atau pemerintah. Target saya hanya untuk golongan ke-3 sahaja selepas sekian lama menjadi golongan ke-4.

Saya merasakan tidak adil untuk bercakap tentang politik, melainkan mesti belajar tentang politik, duduk bersama bakal politician yang terdiri daripada Setiausaha-setiausaha ADUN dari Pakatan Rakyat, mendengar ucapan-ucapan mereka, meneliti tulisan-tulisan mereka. Mengapa Sekolah Politik tajaan Pakatan Rakyat? Sekiranya UMNO ada Sekolah Politik mereka, saya pun akan menyertainya juga untuk belajar tentang politik.

Maka, barangkali selepas itu kita akan tersenyum lebar kerana beberapa sebab kepada beberapa faktor tertentu sudah terjawab. Mengapa Allah beri peluang kepada pemerintah selama 12 penggal untuk memerintah ya? .

Sekitar BERSIH 3.0

Saya sempat menghadiri BERSIH 3.0, namun saya turun sebagai pemerhati dan sebagai camera-man dan video-man. Saya turun seawal sekitar 11 malam bersama beberapa orang sahabat, mennyusup dari sebuah kawasan yang agak selamat seperti sekitar PWTC dan berjalan kaki ke Dataran Merdeka. Target saya bukan untuk Occupy Dataran seperti yang dijangka.

Bak kata salah seorang kawan saya dalam rungutannya,

Lihatlah Ustaz-Ustaz yang menghalalkan demonstrasi, adakah mereka turun sekali bersama rakyat? Jika tidak mahu berdemo pun, mengapa mereka tidak mahu menasihati rakyat secara berdepan-depan, paling kurang pun mereka menjadi orang tengah atau menasihati orang yang ingin berdemonstrasi di lapangan? Barangkali Ustaz-Ustaz ini hanyalah hero di Youtube dan di medan tulisan sahaja !

Dan barangkali selepas kemenangan diraih, mereka akan terhegeh untuk turun menuai hak-hak mereka .

Berbaloi untuk turun dan belajar, namun sayang, usia saya dan saya tidak mempunyai keberanian yang tinggi untuk bertindak atau berlaku adil pada beberapa tempat yang memerlukan keadilannya.

Destinasi saya malam itu ialah Masjid Negara.Mungkin ber”iktikaf” di Masjid Negara. Sewaktu melalui Dataran Merdeka, saya sempat melihat beberapa “pergaduhan” antara demonstrator yang turun awal pada malam itu bersama dengan anggota polis, dan “pergaduhan” itu dileraikan dengan kedatangan ” Mat Saboo” dan “Hishamuddin Rais”.

Saya tidur di Masjid Negara. Subuh keesokannya beberapa bas dan beratus manusia hadir sebelum subuh, memasuki Masjid Negara. Kebanyakan mereka dari luar kawasan Selangor. Saya sempat solat Subuh berjemaah, namun selepas solat Subuh, tiada kuliah Subuh diadakan.

Mengapa tiada ilmuwan-ilmuwan atau barangkali orang yang berautoriti dalam pentadbiran agama ini untuk memenuhi ruang kosong selepas solat Subuh itu. Lebih indah rasanya andai selepas solat Subuh itu, ada agamawan yang boleh duduk di situ, dan bercakap sedikit sebanyak tentang Adab Berdemonstarasi atau paling kurang Hadis Nasihat di dalam Hadis 40 Nawawi. Apalah yang ingin diharapkan daripada saya, seorang graduan agama yang tiada tauliah atau apa-apa kedudukan.

Selesai menghabiskan Surah al-Furqan, saya berehat di beranda masjid, mengintai dari jauh pertambahan manusia yang bertali arus dari kawasan berdekatan Masjid Negara, bersolat di masjid dan berhimpun. Jumlah manusia semakin lama semakin ramai.

Acara kemuncaknya selepas solat Zohor, di mana para demonstator akan berarak ke Dataran Merdeka. Saya menantikan kalau ada agamawan yang boleh memberi sedikit tazkirah atau menasihati sekalian manusia yang akan berdemonstasi sebentar lagi. Namun, penantian saya hanya tinggal penantian. Tiada orang agamawan yang menasihati. Yang ada hanya beberapa manusia yang menambahkan lagi minyak ke dalam api, menyemarakkan kebencian yang meluap-luap terhadap pemerintah.

Saya mengimpikan apabila berlakunya pertemuan antara demonstastor dengan polis, akan keluar ilmuwan atau agamawan samada mufti atau pegawai agama untuk menasihati kedua-kedua pihak supaya dapat meminimumkan kerosakan dan pergaduhan antara dua pihak. Namun tiada, penantian dan impian saya hanya tinggal impian.

Paling kurang selepas solat fardhu, mendoakan pengampunan dan hidayah dibukakan untuk pemimpin.

Hati saya bertambah perit melihat dari kejauhan. Signal isyarat dari FRU dan Polis dibalas cacian dan makian dari demonstator atau mungkin polis atau SB yang menyamar sebagai demonstrator. Ternyata syaitan bergelak berdekah-dekah, dan menyusup ke dalam hati-hati manusia dan menyelitkan kebencian yang dahsyat antara kedua-kedua golongan.
Tidak apa yang dapat aku buat melainkan menasihati orang-orang sekitarku, ataupun berpindah. Maksud berpindah ialah apabila melihat segolongan manusia yang bergiat aktif memaki pemerintah, saya berpindah ke golongan yang lain, atau dari golongan yang bercampur baur antara lelaki dan perempuan kepada yang tidak bercampur.

Barangkali bukan semua orang mampu untuk sabar terhadap pemerintah yang zalim. Dan saya sangat terkejut melihat penglibatan warga Cina yang sangat ramai jumlah dan berani seperti demonstator Melayu. Demonstator Cina sudah lebih berani. Banyak adegan-adegan manusia yang saya belajar seperti,

– Pak Cik berkopiah yang melaung makian terhadap pemerintah.
-Anak muda berkopiah, tangan kanannya menghisap rokok dan tangan kirinya mengangkat sepanduk Bersih.

-Pak Cik berkopiah dan berjubah menyertai demonstrasi, mulutnya tak henti-henti berzikir sambil berjalan bersama perarakan Bersih 3.0

-dan banyak lagi adegan manusia-manusia meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada pemerintah.

 Nasihat untuk ILMU.

Setiap kali orang awam yang pro pembangkang melihat video-video ILMU, mereka mengatakan ia sampah dan mencaci ILMU dengan panggilan yang tidak sepatutnya, namun apabila golongan ilmuan dan intelektual melihat video2 ILMU, mereka melihat dengan perasaan bimbang, persoalan yang bermain di dalam minda mereka ialah bagaimana orang2 agamawan yang bagus seperti ini, kemas hujah mereka, kuat dalil mereka boleh menyokong “kezaliman”, lantas dalam ucapan mereka, mereka menyatakan ” Kami kekurangan golongan agawaman untuk menemani perjuangan kami…. Ustaz-ustaz ini membicarakan tentang sikap taat kepada pemerintah yang zalim tetapi tidak kepada hak rakyat yang zalim….”.Mereka tidak memperlihatkan kerisauan mereka di mata umum, tetapi dari ucapan2 mereka dan tulisan mereka, mereka agak risau mengapa golongan agamawan “kurang” bersama mereka.

Bersabarlah kalian dalam menasihati pemerintah secara senyap dalam cacian dan makian manusia yang tidak mengerti. Aku faham ada agamawan yang bekerja dalam ijtihad yang pelbagai, dalam cara yang pelbagai.

UZAR dalam MUKIM 2012, berkata yang mafhumnya seperti ini,

 Suatu alasan yang klise untuk kita menyalahkan masalah dalam kehidupan seharian kita terhadap pemerintah. Kita perlu menyalahkan diri kita dahulu, dan pemimpin yang kedua selepas diri disalahkan. Jika tidak, kita seperti membuang pemimpin yang kejam dan menaikkan pemimpin yang sama seperti sebelumnya, cuma mungkin baik sedikit.

Tajdid Baru untuk Fiqh Siyasah

Saya ingin mengajak penonton yang berbahasa Arab untuk menilai artikel dari Dr. Yusuf al-Qaradawi yang bermanfaat ini.

http://www.qaradawi.net/component/content/article/5850.html

Fikri : Para agamawan itu seperti VANGUARD yang menjaga maslahah manusia baik yang memimpin atau yang dipimpin.

Barangkali kemuncak natijah selepas 3 kali BERSIH ini ialah fatwa Haramnya Demonstrasi dari Jawatankuasa Fatwa Kebangsaaan.

Gerakan Islam yang berkualiti 

Jika kita telusuri kitab-kitab tentang gerakan Islam seperti tulisan Muhammad Ammarah, Taha Jabir Alwani yang berjudul Krisis-krisis Pemikiran Gerakan Islam atau tulisan tentang Gerakan Islahiyyah(Gerakan Pembaikan), kita akan dapat bahawa antara gerakan Islam yang berkuali ialah kebijaksanaan mereka merespon isu-isu besar di yang berlaku di sekitar mereka.

Wahai sahabat-sahabat, anak-anak murid, mad’u-mad’u yang menghujaniku tentang kekeliruan mereka tentang gerakan mana yang terbaik, ketika inilah masa untuk menganalisa gerakan-gerakan Islam di Malaysia, baca tulisan mereka, analisis sebab dan faktor respon dan cara mereka menghadapi sesuatu isu. Gerakan yang kaku atau gerakan yang bukan Ashabul Qodoya bukan gerakan Islam yang baik. Tidak menjadi satu kesalahan bagi seorang penyokong gerakan Islam untuk menyokong gerakan Islam yang lain kerana Qiyadah (Kepimpinan) Gerakan itu hanya manusia biasa. Ada salah dan silapnya. Ada yang kuat dan lemah.

*Ashabul – Golongan

Qodoya – Jamak kepada Qodiyyah, iaitu isu-isu .

Ashabul Qodoya – Golongan yang menjadi tulang belakang kepada isu-isu ummat yang berlaku. Mereka membincangkan , bertindak sebagai think tanker, idealist, memberi solusi sebagai respons mereka terhadap isu yang berlaku untuk kebaikan ummat.

Ingatlah bagaimana ustaz Hassan al-Banna dan sahabat-sahabat beliau mengeluh dalam tulisannya bahawa saban malam beliau risau tentang apa yang berlaku kepada ummat dan mencari penyelesaiannya. Barangkali itulah motivasinya yang tidak terbatas.

Wallahua’lam. Semoga Allah memberi kebaikan dan hidayah kepada ummat ini.

Saya tutup dengan firman Allah dari Surah ar-ra’d ayat 11,

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.  

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s