Berita Fikri 1 – Antara 2 Golongan Manusia


Assalamualaikum wbt.

Beberapa golongan manusia sekitar hidupku.

1. Salafi . Dikenali dengan ketegasan mereka dalam beberapa isu seperti demonstrasi. Kecaman terhadap Syed Qutb, Yusof Al-Qaradhawi dan sebagainya. Sebenarnya ketegasan mereka terhadap beberapa isu kerana mereka mengamalkan “saddu az-zarai3” iaitu menutup semua jalan yang boleh membawa kepada kerosakan atau musibah yang lebih besar. Contoh dalam isu demontrasi, mereka berpendapat demonstrasi tidak sesuai kerana ia boleh membawa kepada mafsadah yang lebih besar seperti kerosakan harta benda awam, nyawa, ketenteraman awam dan sebagainya. Malah ada jalan yang lebih baik seperti menasihati pemimpin secara sendirian(muwajahah salimah) dan sebagainya atau mengambil jalan yang paling tidak kurang mafsadah.

Sewaktu aku bersama mereka, adakalanya aku dipandang serong oleh sebahagian mereka kerana terus terang aku katakan aku memang lahir dari keluarga dipengaruhi oleh ikhwan kerana di sisi salafi jalur keras ikhwan memang ada masalah terutamanya sifat kepuakan mereka yang menebal(hizbiyyah) dan sumber hanya terikat kepada tokoh-tokoh ikhwan dan sekitarnya.

2. Ikhwan. Aku juga menerima kecaman atau sindiran daripada beberapa orang sekitarku. Bagi mereka salafi ini hanya mementingkan perkara2 furu’ dalam agama, sibuk berbicara tentang status hadis, dan sebagainya. Bagi aku semua benda agama adalah penting dan tidak boleh dipandang remeh. Adapun mementingkan kesahihan hadis, ia sangat penting kerana hadis ialah sumber kedua selepas Al-Quran. Bahkan ada amaran dari Nabi SAW bahawa sesiapa yang menipu atas nama baginda seperti dia menempah tempatnya di neraka.Aku belajar hadis dan aku amat pentingkan kesahihan ilmu yang akan aku kutip. 

Contoh termudah, kalau seorang naqib/daie berbicara tentang hadis kepadaku. Kalau dia anti Albani yang merupakan ikon dalam ilmu hadis tidak mengapa, masih ada Syuaib Arnout, Abdullah Al-talidi dan ramai lagi muhaddisin lain kerana aku tahu muhadisin pun berbeza pendapat dalam memberikan darjat kepada sesuatu hadis. Tapi masalahnya bila dia menaqalkan hadis yang sangat dhaif, hadis yang direka, ia jadi masalah yang sangat besar bagi orang yang belajar agama, kerana bagi mereka ia seolah tiada nilai. 

” Kenapa aku mesti meluangkan masa untuk mendengar hadis yang sangat dhaif ini, sedangkan aku boleh gantikan dia dengan kuliah atau tazkirah yang ada hadis sahih. Sumber yang benar lebih meyakinkan aku. “

3. Ada golongan manusia yang berada dalam kelompok 1 dan 2. Mereka tidak menonjolkan diri dalam kedua2 kelompok. Kekadang mereka lebih sabar dan diam. Golongan ini wujud dalam kelompok 1 kerana mereka yakin dengan sumber ilmu yang lebih sahih, memberi keutamaan rujukan agama kepada kitab2 turath bukan terhad kepada kitab2 yang ditulis oleh tokoh ikhwan, dan ia merupakan jalan yang paling hampir kepada kebenaran. Menggunakan neraca Al-Quran dan Hadis Sahih melalui kefahaman Salafussoleh. Golongan inilah penolong yang paling hampir kepada gerakan salafi kerana mereka ada kefahaman yang cukup, tambah dengan semangat wa’yul Islami yang dipelopori oleh golongan Ikhwan ataupun dalam istilah lain Ansar as-Sunnah.

Golongan ini menyertai kelompok manusia ke-2 kerana bagi mereka ikhwan lebih maju dalam aktiviti dakwah dan tarbiyah. Bila menyertai ikhwan, ada aktiviti kebajikan yang sangat banyak seperti aktiviti kemanusiaan, dakwah kepada orang asli, membantu anak yatim, bantuan ketika bencana dan sebagainya. Anggaplah medan bersama orang ikhwan ialah medan untuk mempraktikkan teori agama yang dipelajari dan pengalaman turun padang bersama masyarakat.

Nasihat Untuk Golongan 3.

1. Bersabarlah ketika menghadapi karenah golongan 1 dan 2. Golongan salafi akan menyindir kerana kamu orang-orang hizbiyyah(yang mementingkan kepuakan) dan beberapa bid’ah atau kesalahan dalam manhaj ikhwan. Manakala golongan ikhwan pula akan lebih berhati-hati dengan kamu kerana pada mereka, fikrah kamu tidak sama dengan mereka. Bersabarlah di atas mulut-mulut orang jahil dan hormatilah amilin-amilin(pekerja yang jahil tetapi ikhlas).

2. Jika sebilangan salafi jalur keras mengecam tokoh-tokoh ikhwan dan buku-buku karangan mereka, maka kamulah yang menjadi pembela kepada mereka supaya masyarakat tidak terperangkap dan keliru serta bingung dengan jalan yang ditutup oleh salafi jalur keras ini. Sebenarnya tidak sikit pendapat-pendapat atau ucapan masyaikh yang memuji tokoh-tokoh ikhwan dengan menyifatkan sebagai pejuang, pemikir, daei yang memberi jasa kepada dakwah tetapi ada sedikit kesalahan. Terangkanlah kesilapan tokoh-tokoh ikhwan dengan sederhana. Atau kesimpulannya, kamu jadi orang yang mendekatkan antara 2 golongan ini dengan menggantikan kecaman antara keduanya dengan kebaikan yang diucapkan oleh keduanya atau apa-apa yang terbaik bagi kamu.

Sudah fitrah/semulajadi bagi seorang manusia di mana dalam hidupnya kesalahan dan kesilapan, begitu juga pendapatnya kadangkala boleh jadi salah dan boleh jadi benar, sedangkan perkara ini tidak berlaku pada Nabi SAW yang maksum(terpelihara dari kesalahan).

3. Kita bekerjasama dengan golongan ikhwan dalam perkara-perkara yang baik, adapun jika ada kesalahan dan maksiat pada diri mereka, jika tidak mampu untuk mengubahnya, maka cukuplah sekadar kamu menghindari atau mengasingkan diri kamu darinya. Boleh gantikan kuliah haraki dengan ilmu-ilmu agama asas, mengutamakan rujukan yang patut diutamakan. Cukuplah kaedah ini bila bersama dengan ikhwan;

Apabila datang nas (Al-Quran dan Hadis), maka batallah selain keduanya.

4. Jika golongan salafi, sesetengah daripada mereka terus menolak buku-buku yang ditulis oleh tokoh Ikhwan, maka bagi kamu golongan 3, cukuplah dengan kamu mengutamakan rujukan yang patut diutamakan seperti contoh mengutamakan kitab-kitab yang ditulis oleh ulama yang diketahui ilmunya daripada buku yang ditulis oleh tokoh ikhwan. Kemudian, jika ada kesilapan dalam buku ikhwan itu, nyatakan secara ilmiah atau kalau boleh cuba beri alternatif kepada buku itu seperti menggantikan dengan buku yang berbicara tentang isu yang sama tapi lebih kurang kesilapannya atau dengan buku yang serupa tapi telah dikomentari oleh ulama-ulama masa kini atau buku yang sama tapi telah dibetulkan kesalahannya oleh ulama-ulama terkini. Ini memerlukan pengetahuan yang luas tentang buku. 

Kita tidak menutup satu jalan manusia, tetapi kita memberikan pilihan kepada jalan itu supaya manusia dapat melalui jalan itu tetapi ia kurang memberi mudarat atau kerosakan kepada manusia itu. Itulah tugas yang cukup mencabar bagi seorang daie. Daie yang berada di antara 2 kelompok.

Aku dan Shaykh Tawfeeq al-Ba’dany.

Aku sempat untuk menghadiri kuliah Shaykh Tawfeeq al-Ba’dany. Beliau adalah murid kepada Shaykh Muqbil yang diketahui kerasnya kritikan beliau terhadap golongan ikhwan. Bahkan pujian Shaykh Muqbil ke atas beliau di dalam kitab Terjemah Al Wadi’ie iaitu : Berfaedah dalam bidang fiqh dan pedang terhunus terhadap Hizbiyah dan Mubtadi’.

Dalam zaman yang penuh fitnah ini, adakalanya berjumpa dengan Shaykh sendiri dan meminta pendapat beliau adalah jalan yang terbaik dan selamat. Contoh kita mendengar ustaz A berkata begini dalam isu sekian-sekian. Lebih selamat atau lebih baik kita meminta kepastian dari beliau atau mendengar ucapan yang terbit dari mulut beliau sendiri.

Soalan aku;

Ya Shaykh, aku dibesarkan dalam keluarga ikhwan, bapaku seorang ikhwan, ibuku seorang ikhwan, pakcik dan makcikku orang ikhwan. Bahkan aku membesar dalam keadaan ini. Dan aku mengenali jalan salafussoleh ini selepas aku belajar agama.

Maka apa pandangan kamu ya Shaykh? 

Jawapan Shaykh ;

Kamu boleh bekerjasama dalam aktiviti mereka seperti aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya yang tidak bercanggah dengan syariat atau yang mengajak manusia ke arah kebaikan dan mendidik manusia. Tetapi apabila terdapat syubhat yang tidak mampu dihalang, maka usahlah kamu menyertainya atau kamu mengasingkan diri daripada mereka.

Berbuat baiklah dan berakhlak mulia dengan mereka semoga mereka terkesan dengan kamu. 

Penutup

Kepada golongan ini, bersabarlah dalam menuntut ilmu daripada 2 golongan ini. Kekadang ada mulut manusia jahil yang akan mengecam kamu, atau bagi mereka kamu orang yang tidak setia atau talam dua muka. Orang yang mengaji dengan syaikh-syaikh dari Saudi, bukan pasti lagi mereka salafi jalur keras atau ingin jadi orang Saudi, dan bukan pasti lagi orang yang membaca Risalah Ta’lim Ustaz Hasan Al-Banna itu orang ikhwan. 

Wahai penuntut ilmu, sesungguhnya apabila kamu telah menanamkan kesamarataan tanpa taksub kepada sesuatu golongan atau shaykh yang alim, bahkan kamu meletakkan mereka pada darjat atau makam/ kedudukan yang sama iaitu seseorang yang berpegang dengan syariat, maka bagi kamu keuntungan yang sangat besar dan faedah ilmu yang banyak serta menjadikan kamu lebih matang dan terbuka dalam menangani masalah manusia.

Wassalam. Semoga nanti akan ada sampai suatu tempoh di mana orang-orang Ikhwan, apabila mereka memahami, mereka masih jadi aktivis dalam dakwah dan tarbiyah cuma dalam masa yang sama mereka merupakan Ansar as-Sunnah, golongan yang membantu orang-orang yang menyebarkan Sunnah dan menjadi sekutu kuat kepada golongan salafi dan tabligh.

Advertisements

4 comments on “Berita Fikri 1 – Antara 2 Golongan Manusia

  1. Al Ikhwan Al Muslimuun pemangkin Da’wah As Salafiyyah
    oleh: Dr. Imran (Abulwafaa)
    link asal: http://www.al-fikrah.net/index.php?name=Forums&file=viewtopic&t=6788&highlight=ikhwan

    Pergilah ke serata dunia dan anda akan dapati bahawa begitu ramai
    orang yang membawa da’wah Salafiyyah merupakan orang IM. Orang-orang
    yang banyak menterjemah karya-karya Syaikh Ibn Baaz, Ibn ‘Uthaymeen,
    Al Albaani dan menyebarkan kaset-kaset mereka adalah orang Ikhwaan.

    Nama-nama seperti Sayyid Saabiq, Yuusuf Al Qaradawi,Muhibbuddin Al
    Khatiib, Taariq Suwaidaan dan ramai lagi telah menerangi ummah dan
    berperanan besar dalam menjana Fiqh As Sunnah, ‘Aqeedah Salaf dan
    berjasa membersihkan nama Syaikh Muhammad ibn ‘Abd Al Wahhab daripada
    fitnah.

    Syaikh Al Qaradawi contohnya digelar Wahabi oleh gurunya di Al Azhar
    semenjak sekolah menengah lagi kerana tidak bersetuju solat di sisi
    qubur. Beliau dihalau keluar kelas dan tidak dibenarkan masuk kelas
    guru tersebut sepanjang persekolahan.

    Beliau diundang oleh Syaikh Ibn Baaz dan Syaikh MUhsin Al ‘Abbad untuk
    sama-sama duduk dalam Majlis senat Universiti Madinah puluhan tahun
    yang lepas walaupun Syaikh Ibn Baaz tak bersetuju dengan beliau dalam
    8 isu.

    Kita ni yang baru kenal Salafiyyah tak berapa hari begitu mudah mahu
    menghukum begitu ramai tokoh ini secara zalim.

    Yang banyak menerbitkan buku-buku Salafi di serata dunia juga ramai
    orang Ikhwan. Ikhwan dan Salafiyyah telah berjalan seiring selama
    puluhan tahun. Cumanya selepas perang Teluk, perang Afghanistan dan
    kejadian di Algeria barulah IM diserang habis-habisan oleh beberapa
    tokoh Salafi tertentu.

    Sejarah ini tidak mungkin kita boleh padam begitu sahaja. Saya sendiri
    tak pernah dengar nama Syaikh Al Albaani dan Syaikh Mashhuur Hasan
    Salman melainkan selepas kenal Ikhwan dan melalui orang Ikhwan.

    ********

    Kalau nak buat kajian yang adil, mesti buang prasangka dan membaca
    secara neutral bukan melihat secara biased.

    Jika cermin mata hitam yang dipakai nanti semua yang dilihat akan jadi
    hitam.

    Mahu kritik Ikhwan ? Silakan tapi biarlah adil dan tidak melampau.
    Baca tulisan dua-dua pihak. Jangan baca tulisan yang menghentam
    dahulu, kerana dengan ilmu yang begitu sedikit kita tak akan mampu
    menilai kritikan yang adil dengan kritikan tidak adil yang dibina atas
    salah tafsir dan salah anggap kepada teks dan maksud sebenar
    pengarang.Kalau rasa tidak ada masa hendak baca tulisan kedua-dua
    pihak sila tumpu kepada isu-isu lain yang lebih asas dan lebih pokok
    daripada bercakap tanpa ilmu.

    • FATHI, apa yang aku tulis ialah apa yang aku jumpa. Memang di tempat lain ia berbeza. Di Mesir atau di negara arab, kebiasaannya orang Ikhwan sudah ada asas dan kefahaman yang cukup tentang agama, atau pun jadi salafi dulu.

      InsyaAllah, aku akan jumpa lebih banyak. Terima kasih kerana korang di antara yang banyak memahami aku. Andai kalian ada situasi yang lebih baik untuk orang2 macam aku yang sedang terperangkap dalam dua kelompok ini( duduk dalam situasi yang tidak memahami), maka cadangkanlah aku jalan keluar supaya aku selesa duduk dalam keadaan yang lebih baik( keadaan seperti dalam artikel Dr. Abulwafaa.)

  2. Elok lah tu jadi golongan ketiga, tapi ingat lah pesan nabi yang mafhumnya, “Kambing yang terpisah dari kumpulannya akan mudah dibaham Serigala”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s