Kelahiran Nabi Muhammad SAW


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah.

Sesungguhnya telah datang kepada kita Bulan Rabiul Awwal satu bulan yang mulia, yang di dalamnya telah lahir penghulu dan penutup segala Nabi, Nabi yang diutuskan kepada seluruh ummat. Dialah Nabi Muhammad SAW.

Nasab dan Keturunan Nabi SAW.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW dari manusia yang mulia keturunannya dan mempunyai akhlak dan sifat yang sempurna. Dan telah dinyatakan kemuliaan keturunannya di dalam kitab-kitab hadis, di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya.

إن النبي – صلى الله عليه وسلم – أشرف الناس نسباً وأكملهم خَلْقاً وخُلُقاً وقد ورد في شرف نسبه أحاديث صحاح منها مارواه مسلم: أن النبي – صلى الله عليه وسلم – قال:( إن الله عزوجل – اصطفى من ولد إبراهيم إسماعيل، واصطفى من بني إسماعيل كنانة، واصطفى من كنانة قريشاً، واصطفى من قريش بني هاشم، واصطفاني من بني هاشم)

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya Allah telah memilih aku daripada anak Ibrahim, iaitu Ismail a.s., dan memilih daripada Bani Ismail itu Bani Kinanah, dan telah memilih daripada Bani Kinanah Bani Quraisy, dan telah memilih daripada Quraisy Bani Hashim dan telah memilihku daripada Bani Hashim[1].

[Sahih Muslim, Kitab Fadhail, Bab Kelebihan Nasab Nabi SAW (4/1782) No. 2776]

Daripada hadis ini, kita telah tahu bahawa Nabi SAW daripada Bani Hashim, daripada bangsa Quraisy yang merupakan keturunan Nabi Ismail a.s dan dari Ibrahim a.s dan ini bertepatan dengan Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 127-129.

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (127) رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ (128) رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (129(

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;

“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

[Surah Al-Baqarah ayat 127-129]

وقد ذكر الإمام البخاري رحمه الله نسب النبي – صلى الله عليه وسلم -: فقال:( هو أبو القاسم، محمد بن عبدالله، بن عبد المطلب، بن هاشم، بن عبد مناف، بن قصي، بن كلاب، بن مرة، بن كعب، بن لؤي، بن غالب، بن فهر، بن مالك بن النضر، بن كنانة، بن خزيمة، بن مدركة، ابن إلياس، بن مضر، بن نزار، بن معد، بن عدنان)[2]

Seterusnya Imam Bukhari rahimahullah telah menyebut tentang nasab/keturunan Nabi SAW, katanya : Dia ialah Abu Qasim, Muhammad bin Abdullah, bin Abdul Muttalib, bin Hashim, bin Abdul Manaf, bin Qusai, bin Kilab, bin Murrah, bin Kaab, bin Luai, bin Ghalib, bin Fihr, bin Malik bin Nadhr, bin Kinanah, bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhor bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan.

[Sahih Bukhari, Kitab Manaqib Al-Ansar, Bab Pengutusan Nabi dan Sebelumnya (4/228) No. 3851.]

Inilah keturunan Nabi SAW sehinggalah kepada Adnan. Adapun selepas Adnan sehingga Ibrahim, manusia telah sepakat tentangnya seperti yang dinyatakan oleh Ibnul Qayyim dan Imam Zahabi rahimahuma Allah.

وقال ابن القيم: بعد ذكر النسب إلى عدنان أيضاً:( إلى هنا معلوم الصحة، متفق عليه بين النسابين، ولاخلاف البته، ومافوق عدنان مختلف فيه، ولاخلاف بينهم أنّ عدنان من ولد إسماعيل عليه السلام )

Berkata Ibnu Qayyim : Tentang menyebut keturunan Nabi selepas Adnan, Sampai di situ telah maklum tentang kebenarannya, dipersetujui oleh tokoh sejarah, dan tiada khilaf, ada pun di bawah Adnan terdapat khilaf, dan tiada khilaf di antara mereka(tokoh2 sejarah) bahawa Adnan daripada keturunan Ismail A.s.[3]

[Ibnu Qayyim, Zaadul Maad (1/71)]

قال الذهبي رحمه الله في كتاب السيرة النبوية:( وعدنان من ولد إسماعيل بن إبراهيم عليهما السلام بإجماع الناس لكن اختلفوا فيما بين عدنان وإسماعيل من الآباء)

Telah berkata Imam Zahabi rahimahullah dalam kitabnya Sirah An-Nabawiyyah ( Dan Adnan daripada keturunan Ismail bin Ibrahim a.s dengan kesepakatan manusia tetapi mereka berbeza pendapat di antara Adnan dan Ismail ayah-ayah.[4]

[Imam Zahabi, Sirah Nabawiyyah (m/s 1)].

Kesimpulannya : Nabi Muhammad SAW merupakan manusia yang dipilih dari sebaik-baik keturunan untuk menunjukkan kemuliaannya sebagai Nabi SAW dan beliau daripada Bani Hashim yang merupakan bangsa yang dihormati di Makkah, dan ini membantu manusia dalam mentaati dan mengikuti dakwahnya.

Peristiwa yang berlaku ketika kelahiran Nabi SAW.

Nabi Muhammad SAW lahir pada 571 Masihi, di mana tahun itu dinamakan Tahun Gajah kerana peristiwa tentera bergajah yang diketuai oleh Abrahah dari Yaman yang ingin meruntuhkan Kaabah. Peristiwa ini digambarkan di dalam Al-Qur’an yang mulia, di dalam Surah Al-Fil ayat 1-5]

Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?

Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?

Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, –

Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, –

Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

[Surah Al-Fil ayat 1-5]

Beberapa pengajaran dari peristiwa ini;

  1. Menerangkan tentang keistimewaan dan kemuliaan Makkah yang dibina oleh Ibrahim dan Ismail a.s
  2. Menerangkan tentang keadaan Nasrani dan Yahudi yang hasad dengki terhadap agama Islam, yang ingin meruntuhkan kiblat pertama Muslimin.
  3. Kisah ini merupakan irhas* dan di-antara dalil-dalil kenabian Nabi SAW.

*Irhas – Perkara luar biasa yang berlaku kepada nabi/rasul sebelum menjadi nabi/rasul.

Bila Nabi SAW dilahirkan.

Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada Hari Isnin, yang mana hari dilahirkan ini tiada khilaf baginya. Adapun tentang tarikh kelahiran Nabi SAW, terdapat khilaf tentangnya.Ibnu Kathir menyatakan pendapat-pendapat ulama di dalam kitab Sirahnya[5].

[Sirah Nabawiyah Ibnu Kathir (1/199)]

  • Pendapat pertama iaitu pada malam 2 Rabiul Awwal. Ini dinyatakan oleh Imam Abdul Barr dalam kitabnya Al-Isti’ab Fi Makrifat il-ashab. Dan diriwayatkan oleh Al-Waqidi dari Abu Ma’syar Najih bin Abdul Rahman Al-Madani.
  • Pendapat yang kedua iaitu pada 8 Rabiul Awwal. Pendapat ini diceritakan oleh Humaidi dari Ibnu Hazm dan diriwayatkan Malik, ‘Uqaili, Yunus bin Yazid dan lainnya dari Zuhri, dari Muhammad bin Jubair bin Muth’im. Dan ini telah dikuatkan oleh Al-Hafiz Abu Al-Khattab bin Dihyah di dalam kitabnya, At-Tanwir Fi Mawlid Al-Basyari An-Nazir.
  • Pendapat yang ketiga iaitu pada 9 Rabiul Awwal bersamaan 20 April 571 Masihi. Ini dinyatakan oleh Al-Mubarakfuri di dalam kitabnya Rahiq Al-Makhtum. Pendapat ini disokong oleh Muhammad Khudori Biik dalam kitabnya Nurul Yaqin
  • Pendapat yang keempat iaitu pada 10 Rabiul Awwal. Pendapat ini diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir dari Abu Ja’far Al-Baqir dan Mujalid dari Sya’bi.
  • Pendapat yang kelima iaitu pada 12 Rabiul Awwal.  Ini ditegaskan Ibnu Ishaq dan diriwayatkan Abu Syaibah dalam Mushannafnya dari ‘Affan, dari Sa’id bin Mina, dari Jabir dan Ibnu Abbas. Pendapat ini juga dipetik oleh Ibnu Hisham dalam Sirahnya.

عن جابر وابن عباس أنهما قالا: ولد رسول الله صلى الله عليه وسلم عام الفيل يوم الاثنين الثاني عشر من شهر ربيع الاول وفيه بعث وفيه عرج به إلى السماء، وفيه هاجر وفيه مات.

Dari Jabir dan Ibnu Abbas, kedua2nya telah berkata : Telah dilahirkan Rasul SAW pada tahun Gajah pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal, pada tarikh itu juga beliau diutuskan menjadi Rasul, hari itu juga beliau diangkat ke langit, hari itu juga beliau berhijrah dan beliau wafat.

Kesimpulannya, terdapat beberapa pendapat bila Nabi dilahirkan iaitu 2,8,9,10, dan 12 Rabiul Awwal. Namun pendapat yang masyhur ialah 9 dan 12 Rabiul Awwal.

Perbandingan antara pendapat2 sekitar kelahiran Nabi SAW.

Bagaimana ulama mentarjih di antara beberapa pendapat.? Banyak cara yang digunakan oleh ulama untuk membuktikan riwayat yang mana paling benar di antara riwayat.

1.Menggunakan metodologi hadis dalam sirah.

Kita lihat contoh rijal di dalam pendapat pertama iaitu Al-Waqidi yang mana kebanyakan ulama rijal al-hadis mengatakan riwayat kedua ini lemah dan ada celaan ke atasnya. Mari kita lihat beberapa contoh celaan ulama ke atasnya.

Contoh kritikan ke atas Al-Waqidi.

حدثنا معاوية بن صالح قال لي أحمد بن حنبل: الواقدي كذاب .

Telah berkata Muawiyah bin Soleh, berkata kepadaku Ahmad bin Hanbal : Al-Waqidi ialah seorang yang pendusta.

وقال يونس بن عبد الأعلى: قال لي الشافعي : كتب الواقدي كذب.

Telah berkata Yunus bin Abdul A’la, telah berkata kepadaku As-Syafie, buku Al-Waqidi dusta.

وقال البخاري : سكتوا عنه ، ما عندي للواقدي حرف ، وما عرفت من حديثه ، فلا أقنع به

Berkata Al-Bukhari, aku diam tentangnya, tiada disisiku bagi Al-Waqidi satu huruf pun, dan aku tidak mengetahui daripada percakapannya, dan aku tidak berpegang dengannya.

Contoh kritikan ke atas Ibnu Ishaq.

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibnu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya Menurut ulama-ulama rijal hadis,

  • Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang Syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya.
  • Imam Nasai mengatakan bahawa dia tidak kuat.
  • Imam Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah.
  • Imam Abu Daud ada berkata, Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah danMutazilah.
  • Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Said Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar.  Malah Imam Malik pernah berkata, Dia seorang dajjal (Mizanul Itidal, Imam Zahabi, jilid 3, halaman 468/475).
  • Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.

Kita boleh lihat celaan ulama dalam kitab Mizan Al-I3tidal oleh Az-Zahabi, Taqribu At-Tahzib oleh Ibnu Hajar dan sebagainya daripada kitab jarh wa at-ta3dil.

Beberapa buku Sirah akhir-akhir ini cuba menggunakan pendekatan ilmu hadis, seperti buku oleh

  • Prof Akram Dhiya’ al-Umary,
  • Abu Hasan Ali al-Nadawi,
  • Muhammad Abu Zahrah dalam Khatim al-Nabiyyin,
  • Muhammad al-Ghazali,
  • Dr Mahdi Raziq Abdullah
  • Dr Ali Muhammad Muhammad al-Salabi.

2. Menyelidik tarikh menggunakan ilmu falak.

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau.  Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan.

Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya.  Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah saw iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad saw ketika itu berusia 63 tahun.

Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi.

Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi saw jatuh pada tahun 571M.  Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.

Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi saw, walau bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal tersebut.  Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M.  Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas.

Penutup

Alhamdulillah, pada zaman sekarang telah wujud usaha untuk memurnikan lagi sejarah Islam, dan termasuk juga di dalamnya usaha-usaha ulama masa kini memurnikan kitab-kitab Sirah seperti menggunakan manhaj hadis di dalam meneliti rijal-rijal yang ada di dalam kitab Sirah.

Usaha-usaha ini menjadikan sirah Nabi dan sahabat lebih murni tanpa ada cerita-cerita yang tiada asalnya, atau pun bersih dari pengaruh2 Syiah.

Semoga dengan mengetahui sirah Nabi, menjadikan kita mencintai sunnah Nabi, dan seterusnya mengamalkan sunnah-sunnah Nabi di dalam kehidupan kita.


[1] Sahih Muslim, Kitab Fadhail, Bab Kelebihan Nasab Nabi SAW (4/1782) No. 2776

[2] Sahih Bukhari, Kitab Manaqib Al-Ansar, Bab Pengutusan Nabi dan Sebelumnya (4/228) No. 3851.

[3] Ibnu Qayyim, Zaadul Maad (1/71)

[4] Imam Zahabi, Sirah Nabawiyyah (m/s 1)

[5] Sirah Nabawiyah Ibnu Kathir (1/199)

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s