[Hadis] Ilmu dan Tahap Akal Manusia


عَنْ أَبِي مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ

Terjemahan :

Dari Abu Musa r.a. [bahawa] dari Nabi s.a.w., baginda bersabda: “Perumpamaan apa yang diutuskan oleh Allah kepadaku daripada hidayah dan ilmu adalah seperti hujan lebat yang mengenai tanah, dari tanah itu ada yang gembur yang dapat menerima air lalu tumbuh rumput-rumput yang banyak dan ada yang keras dapat menahan air maka Allah rnemberi manfaat dengannya kepada manusia, lalu mereka minum, menyiram dan bertani. Dan air hujan itu mengenai kelompok lain iaitu tanah licin yang tidak dapat menerima air dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Demikian itu ibarat orang yang faqih dalam agama Allah dan apa yang diutuskan kepadaku bermanfaat baginya, dia mengetahui dan dia mengajar. Dan ibarat orang tidak naik (menerima) hal ini ke kepala (minda), maka dia tidak akan menerima hidayah Allah yang mana saya diutus dengannya.”

Makna Kalimah

الْغَيْثِ : hujan yang membawa kebaikan.

الْكَلَأَ : rumput basah atau kering yang tidak boleh diberi makan ternak.

الْعُشْبَ : rumput hidup

أَجَادِبُ : tanah keras yang dapat menahan air.

قِيعَانٌ : tanah rata yang licin dan tidak subur.

Takhrij Hadis

* Diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari di dalam Kitab al-‘Ilm, Bab Fadl ‘Alima wa ‘Allama (Bab Kelebihan [Orang yang] Mengetahui dan Mengajar), No. Hadith 79.

* Diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, pada Kitab al-Fada’il, Bab (بَيَانِ مَثَلِ مَا بُعِثَ بِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ),[1] No. Hadith 5953 melalui riwayat Abu Musa al-Asy’ari r.a.

* Musnad Ahmad bin Hanbal juzu’ 32, No. Hadith 19753.[2]

* Sahih Ibn Hibban di dalam al-Muqaddimah, Bab al-I’tisam bi al-Sunnah, No. Hadith 4.

Perawi Sahabat : Abu Musa al-Asy’ari r.a.

Nama sebenar Abu Musa ialah Abdullah bin Qays bin Salim bin Hadhar bin Harb bin al-Asy’ar. Beliau lebih dikenali dengan kunyah dan laqab Abu Musa al-Asy’ari. Beliau memeluk Islam di Makkah dan berhijrah ke Habsyah. Tetapi ada pendapat mengatakan beliau tidak sempat ke Habsyah dan pulang kembali tempat asalnya. Ini kerana sejarawan Islam seperti Musa bin ‘Uqbah, Ibn Ishaq dan al-Waqidi tidak menyenaraikan beliau sebagai orang berhijrah ke Habsyah.

Kemudian beliau kembali selepas Peperangan Khaybar dengan menumpang kapal Ja’far bin Abu Talib r.a. yang berada di Habsyah. Beliau pernah dilantik menjadi wakil Rasulullah s.a.w. di Yaman, kemudian Khalifah Umar al-Khattab r.a. melantik beliau menjadi gabenor di Basrah. Manakala Khalifah Uthman bin ‘Affan r.a. melantik beliau pula di Kufah.[3]

Abu Musa r.a. memiliki bakat dalam melagukan al-Quran dengan suara yang merdu dan lunak. Al-Bukhari meriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. berkata kepada Abu Musa r.a., “Wahai Abu Musa, sesungguhnya engkau dianugerahkan dendangan seruling daripada dendangan keluarga [Nabi] Daud.”[4] Selain itu, beliau juga diiktiraf sebagai sahabat r.a. yang alim dan faqih. Al-Sya’bi telah berkata, “Ilmu [agama] itu terhenti kepada enam orang, lalu menyebut [Abu Musa r.a.] dalam kalangan mereka.” Ali bin Mada’ini pernah berkata, “Qadi umat ini adalah empat orang : ‘Umar, ‘Ali, Abu Musa dan Zayd bin Thabit.” Ulama berselisih pendapat tentang tahun kematian beliau sama ada pada 50H, 51H atau 53H. Begitu juga ulama tidak bersependapat tentang lokasi kematian beliau iaitu di Kufah atau di Makkah.[5]

Huraian Hadith

Hadith ini memberi gambaran yang jelas tentang analogi ciri-ciri tanah dengan ciri-ciri tabiat manusia dalam mendapatkan ilmu. Imam al-Nawawi r.h. di dalam karya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin Hajjaj memberi gambaran tentang perumpamaan Rasulullah s.a.w. pada hadith di atas. Berdasarkan hadith ini, beliau membahagikan ciri-ciri tanah itu kepada tiga bentuk :

1. Tanah yang gembur dan subur yang dapat menerima air hujan. Daripada percampuran ini serta melalui beberapa proses, maka tumbuhlah tumbuhan yang memberi manfaat.

2. Tanah keras yang dapat menahan dan menakung air daripada masuk ke dalam tanah. Daripada takungan ini, manusia dapat menggunakannya seperti minum, bertani dan sebagainya.

3. Tanah licin yang tidak subur dan juga tidak dapat menakung air. Tumbuhan bermanfaat juga tidak tumbuh dan manusia tidak dapat mengambil manfaat kerana tiada takungan.

Daripada ciri-ciri tanah yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. di atas, jelas di sini bahawa baginda ingin menjelaskan tentang ciri-ciri manusia dalam mendapatkan ilmu. Ada sesetengah manusia yang mampu menganalisa, memahami ayat-ayat al-Quran al-Karim dan hadith-hadith Nabawi lalu dapat mengeluarkan pendapat, buah fikiran dan fatwa yang bermanfaat kepada manusia. Ciri-ciri ini menepati perumpamaan tanah yang pertama.

Bentuk yang kedua pula, wujud sesetengah manusia yang mampu menghafal dan mengingati nas-nas al-Quran dan hadith. Kelompok ini kurang berkemampuan daripada sudut kefahaman dalam menganalisis serta mengkaji dalil-dalil ini. Tetapi mereka mampu untuk mengingati ilmu-ilmu ini dan orang lain dapat mengambil manfaat bagi mendapatkan nas, hujjah dan dalil daripada wahyu Allah s.w.t. dan sabdaan Rasulullah s.a.w. Seolah-olah seperti kanak-kanak kecil yang belum aqil baligh yang mampu menghafaz ayat-ayat al-Quran 30 juzuk dan beribu-ribu hadith-hadith Nabi s.a.w., yang mana mereka kurang mampu dalam menaakul kefahaman nas-nas berkenaan.

Bentuk kedua ini boleh penulis ibaratkan seperti cakera keras atau hard disk komputer yang mampu menyimpan pelbagai fail dan maklumat berguna. Ia mampu menyimpan seberapa banyak maklumat yang diingini dan ia boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja yang mahu menggunakannya. Manakala bentuk yang pertama tadi, ibarat perisian atau software komputer yang mampu memproses fail-fail yang terdapat di dalam hard disk komputer dan mengeluarkan hasil yang berguna untuk manfaat manusia. Ibarat kedua-duanya menepati ciri-ciri yang dinyatakan pada sabda Nabi s.a.w. di atas, “Demikian itu ibarat orang yang faqih dalam agama Allah dan apa yang diutuskan kepadaku bermanfaat baginya, dia mengetahui dan dia mengajar.”

Bentuk yang ketiga pula adalah manusia yang langsung tidak teruja dengan ilmu khususnya ayat-ayat al-Quran dan hadith yang merupakan al-Huda iaitu petunjuk untuk manusia. Mereka tidak mahu memahami ilmu ini apatah lagi mengingatinya. Pada pandangan penulis, kelompok ini tidaklah dikategorikan sebagai bebal, dangkal, bodoh atau dungu. Tetapi mereka ini boleh diklasifikasikan sebagai jahil, tiada semangat ingin tahu (curiosity) atau sapere aude[6] bermaksud ”keberanian untuk tahu.” Yakni, mereka tidak mahu memberanikan dirinya untuk mengetahui sesuatu walaupun dengan cara yang mudah.

Nota kaki.

[1] Bab Keterangan [Pada] Perumpamaan [Tentang] Apa yang Dibangkitkan Dengannya [Kepada] Nabi s.a.w. Daripada Hidayah dan Ilmu.

[2] Tahqiq Syu’ayb al-Arna’ut.

[3] Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani al-Syafi‘i, (1992/1412), al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, j. 4, t.c. Bayrut : Dar al-Jil, h. 211-212.

[4] Kitab Fada’il al-Quran, Bab (حُسْنِ الصَّوْتِ بِالْقِرَاءَةِ لِلْقُرْآنِ)

[5 Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani al-Syafi‘i (1912/1412), Isabah, op. cit. h. 212-213.

[6] Istilah dalam bahasa Jerman.

*kredit kepada Ust. KD

 

Advertisements
By rajawalibiru Posted in Hadis

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s