Adab Menuntut Ilmu


Santai Seketika Bersama Alim Mujahid
Santai Seketika Bersama Alim Mujahid

Pertamanya, syukur kepada Ilahi kerana mengurniakan sedikit kelapangan selepas agak sibuk dengan program persatuan. Semoga lepas ini, aku boleh menumpukan segara konsentrasi kepada pelajaran, khususnya tahun akhir ini. Tahun inilah, sebagai mahasiswa Maghribi, mereka perlu berlatih menghadapi masyarakat yang pelbagai karenahnya, melengkapkan perkara yang wajib menurut apa yang dipelajari untuk disebarkan kepada masyarakat.

Selepas ‘briefing’ untuk mahasiswa Rabat baru dalam PROSMA, satu lagi program besar menanti mahasiswa Maghribi anjuran Kementerian Pengajian Tinggi. Wah, gempak tuh, dapat jumpa ‘face-to-face’ dengan wakil dari KPT.Program Pembangunan Sahsiah Pelajar Luar Negara 2008 merupakan program julung anjuran KPT di Maghribi dan beberapa tempat lain yang mana penceramah yang didatangkan khas dari universiti-universiti tempatan, membentangkan beberapa kertas kerja untuk menjana keintelektualan mahasiswa. Terima kasih KPT atas lawatan anda.

Terus kepada tajuk ‘posting’ hari ini kerana tidak mahu menulis panjang.

ADAB MENUNTUT ILMU.

Adab yang pertama ialah menuntut ilmu ikhlas kerana Allah, bukan kerana ingin mencari kemuliaan atau dipandang tinggi.

Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).

(Surah Muhammad ; 19 )

Adab yang kedua dalam menuntut ilmu ialah berniat untuk menghilangkan kejahilan yang ada dari diri dan orang lain.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.(Surah Al-Alaq ; 1-5 )

Sesungguhnya manusia itu dicipta dalam keadaan serba tidak mengetahui, maka menuntut ilmu itu untuk menghilangkan kejahilan padanya dan seterusnya menghilangkan kejahilan orang lain.

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah An-Nahl ; 78 )

Di dalam Al-Quran diceritakan tentang kisah Allah swt. mahu mencipta manusia dan mengajarkan kepada manusia ( NAbi Adam a.s) ilmu dan pengetahuan. Dan Nabi Adam a.s. mengajarkannnya kepada malaikat.

Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”. Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”. (Surah Al-Baqarah; 31-33 )

Kemudian selepas mempelajari ilmu, maka hendaklah menyebarkannya kepada orang lain supaya memberi manfaat ilmu itu kepada manusia yang jahil. Malah Nabi Muhammad s.a.w diutuskan untuk memberi hidayah kepada umat sekelian alam.

Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (Surah Al-Jumuah; 2 )

Adab yang ketiga ialah berniat menuntut ilmu untuk menjaga syariat dan menjaga agama. Sesungguhnya ulama itu menjadi benteng kepada masyarakat dari kesesatan. Kita lihat hari ini, apabila ada sesuatu yang menyimpang dari agama, maka akan bangkit para ulama untuk menjaga ilmu itu, sambil memperbaiki dan mencantikkannya. Contohnya ilmu hadis diperkenalkan untuk menjaga kesahihan hadis, mempelajari perawinya supaya hadis yang digunakan adalah dari Nabi s.a.w.

Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang. (Surah Al-Saff; 14 ).

Adab yang keempat ialah berlapang dada dalam menerima pendapat atau dalam perkara khilaf.

Khilaf bermaksud sesuatu yang berbeza. Dalam mempelajari ilmu, maka kita akan dapati padanya pendapat-pendapat ulama yang berbeza-beza kerana sebab yang pelbagai seperti manhaj pengambilan yang berbeza, ilmu yang berbeza dan sebagainya. Maka seharusnya kita bersikap berlapang dada dalam menerima pendapat orang lain dengan menjaga adab dan nilai ilmu itu tersebut di samping menjaga nilai persaudaraan sesama Islam.

Adab yang kelima ialah beramal dengan ilmu yang dipelajari. Sesungguhnya ilmu itu laksana sebuah pokok dan amal itu laksana buah yang ada pada pokok itu, yang memberi manfaat kepada dirinya dan orang lain. Dan ilmu itu umpama sebuah pedang yang menjadi benteng kepada seseorang apabila ia mengamalkannya. Umpama seorang perempuan yang mengetahui bahawa menutup aurat itu wajib, maka ia perlu menutup badan dan perhiasannya. Demikian itu menjaga dirinya dari fitnah dan segara bahaya yang menimpa.

Dipetik dari Kitab AL- Ilm oleh Ibnu Uthaimin. Disarankan oleh Abang Hadi dalam ceramahnya pada PROSMA. Semoga Allah memberi keberkatan dan menjadikan dia dan kami faqih dalam ilmu ini. Amin

Sedikit doa untuk diamalkan-

“Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.

Advertisements

2 comments on “Adab Menuntut Ilmu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s