Abu Bakar r.a. dan Perluasan Negara Islam Part 2


Sedikit ringkasan dari peperangan melawan kaum murtad (dari Part 1 )

Tidak ada satupun wilayah di Semenanjung Arab melainkan ada penduduknya yang murtad. Maka Saidina Abu Bakar, di antara jasanya ialah memerangi kaum murtaddin dan kaum muslimin beroleh kemenangan dalam setiap peperangan mereka. Dan kaum muslimin beroleh kemenangan dan harta rampasan yang banyak. Akhirnya seluruh Semennanjung Arab dikuasai oleh orang-orang yang patuh dan tunduk pada Allah dan RasulNya.

Peperangan-peperangan ini banyak terjadi pada penghujung tahun 11 Hijrah dan permulaan 12 Hijrah. Kaum muslimin memperolehi kekuatan mereka kembali dan selepas kaum murtaddin ditumpaskan, Saidina Abu Bakar r.a. menumpukan kepada perluasan wilayah Islam yang baru seperti penaklukan Iraq, Syam dan sebagainya.

PERLUASAN WILAYAH ISLAM PADA ZAMAN SAIDINA ABU BAKAR

Penaklukan Iraq

Setelah menakluki Yamamah, Saidina Abu Bakar memerintahkan Khalid menuju Iraq dan menasihatinya supaya berdakwah kepada mereka yang bukan Islam, jika tidak menerima, maka ambillah jizyah dan jika tidak diterima barulah diperangi. Al-Waqidi berkata ” Ahli sejarah berselisih pendapat.Ada yang berpendapat Khalid terus ke Iraq dari Yamamah dan ada yang berpendapat, Khalid Al-Walid pulang dahulu ke Madinah dan menuju Iraq melalui jalan Kufah.(1)” . Bagaimanapun pendapat pertama lebih masyhur.

Al-Madaini menyebut dengan sanadnya bahawa Khalid Al-Walid menuju Iraq pada Muharam 12H melalui Basrah. Ketika itu gabenor Kufah ialah Musanna Al-Harisah As-Syaibani.

Penaklukan Ubullah dan Peperangan Zaatus-Salasil.

Peperangan ini dinamakan Zaatus Salasil kerana banyaknya tentera Hurmuz yang terikat dengan rantai sewaktu berperang dengan tentera muslimin. Ubullah merupakan selat India dan merupakan pertahanan tentera Parsi yang kuat melalui rajanya, Hurmuz yang kuat. Khalid Al-Walid mengutuskan surat dan memberitahu akan tujuan kehadirannya. Hurmuz mendapat surat dari Khalid Al-Walid dan mempersiapkan tenteranya menuju Khazimah(2).

Hurmuz merupakan bangsawan yang terkenal di Parsi dan mahkotanya bernilai 10000 dinar. Beliau bergerak bersama tenteranya yang dipimpin oleh sayap kiri, Qubaadz dan sayap kanan, Anu Syajaaan dan tenteranya diikat oleh rantai yang panjang agar tidak lari menghadapi tentera Khalid yang berjumlah 18000 orang sahaja.Kemenangan berpihak kepada kaum muslimin dan Hurmuz berjaya dibunuh.Dan Khalid berjaya menakluk Ubullah (3).

Peperangan Al-Madzar.

Peperangan ini berlaku pada Safar 12H. Peperangan ini terjadi kerana Hurmuz telah mengirim surat Khalid Al-Walid kepada Kisra Parsi dan Kisra telah mengirimkan tenteranya yang lengkap dipimpin oleh panglimanya yang bernama Qarin bin Qiryanis. Qarin dan tenteranya telah menggabungkan diri dengan sisa tentera Hurmuz yang kalah dan bergerak ke suatu tempat yang bernama Al-Madzar(4) untuk menyerang tentera Khalid Al-Walid. Sayap kiri dan kanannya diketuai oleh Qubaadz dan Anu Syajaan yang melarikan diri.

Peperangan yang dahsyat terjadi di antara tentera Muslimin dan tentera Qarin. Khalid ingin membunuh Qarin tetapi Qarin berjaya dibunuh oleh ketua tentera Muslimin yang bernama Ma’qal bin Al-Asya An-Nabbasy. Sementera Adi bin Hatim berjaya membunuh Qubadz dan Ashim berjaya membunuh Anu Syajaaan.Tentera muslimin menang dan berjaya membunuh hampir 30000 tentera Parsi.

Perang-perang lainnya seperti Perang Al-Walajah, Perang Ullaisy, pembukaan Herat melalui perdamaian di mana penduduknya bersetuju untuk membayar jizyah sebanyak 90000 dirham. Ada pendapat yang mengatakan 200000 dirham. Dan itulah jizyah yang pertama diterima dari bumi Iraq.

Pembukaan Herat ini menjadi satu lagi mukjizat dan dalail an-nubuwwah Nabi Muhammad s.a.w. Rasul Allah s.a.w. bersabda ” Kelak mereka akan menakluki istana-istana Herat yang indah seolah-olah halaman istana mereka laksana taring-taring serigala (5).

Kemudian penaklukan Al-Anbar, Peperangan Ain Tamar, kisah Daumatul jandal, Peperangan Al-Husaid dan Al-Mushayyakh, dan peperangan lainnya.

Kemudian kisah Khalid Al-Walid yang pergi menunaikan haji tanpa pengetahuan Saidina Abu Bakar r.a. dan beliau dihukum dengan ditempatkan di Syam dan kedudukan beliau digantikan oleh Al-Musanna bin Harisah.Terjadi peperangan di antara tentera Parsi dan tentera muslimin di bawah pimpinan Al-Musanna bin Harisah dan tentera Parsi menjadi lemah selepas itu. Al-Musanna bin Harisah balik ke Madinah untuk bertemu dengan Saidina Abu Bakar dan ketika itu Saidina Abu Bakar sedang sakit tenat dan beliau digantikan oleh Saidina Umar r.a.

PENAKLUKAN NEGERI SYAM.

Berlaku pada awal tahun 13H. Saidina Abu Bakar r.a membentuk pasukan tentera dan melantik panglima untuk menaklukkan Syam.

1. Tentera yang diketuai oleh Yazid bin Abi Sufyan, dibantu oleh Suhail bin Amru untuk menakluk kota Damascus.

2.Tentera yang diketuai oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah, gelarannya Amiinul Ummah untuk menakluki kota Homs

3.Tentera yang diketuai oleh Amru bin Al-As untuk menakluk Palestin.

4. Tentera Syurahbil bin Hasanah yang dipindahkan ke Syam untuk menakluki Jordan. Dan sewaktu melalui Dzil Marwah, tentera Syurahbil bergabung dengan tentera Khalid bin Said dan Khalid bin Said diperintahkan untuk pulang ke Madinah.

Kesemua tentera menuju Syam melalui jalan Tabuk kecuali tentera yang diketuai oleh Amru bin Al-As yang melalui jalan Al-Mu’riqah hingga ke Ghamr Al-Arabat. Tentera Abu Ubaidah berhenti di Al-Jabiyah.

Peperangan pertama dalam misi menakluk Syam berlaku di daerah Al-Arabah, Palestin di antara tentera Yazid bin Abi Sufyan dengan tentera Rom.

Peperangan Yarmuk

Peperangan Yarmuk terjadi pada 13H sebelum penaklukan Damaskus. Ibnu Kathir menceritakan peperangan ini sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Jarir At-Tabari,

” Ketika terdengar khabar bahawa tentera Islam menuju Syam, tentera Rom sangat takut, dan mereka mengirim surat kepada Heraclius, ketika itu dia berada di Homs. Heraclius menyuruh mereka berdamai dengan kaum muslimin tetapi mereka enggan. “

Kaisar Rom memerintahkan tenteranya bersiap sedia dan menghantar tentera yang banyak untuk menghadapi setiap panglima tentera Muslimin.

Tazariq ( 90000 orang) – tentera Amru bin Al-As.

Jarajah bin Tuzra ( 50000-60000 orang) – tentera Yazid

Al-Duraqis – Syurahbil bin Hasanah

Al-Qaiqalan ( 60000 orang ) – tentera Abu Ubaidah bin Jarrah

Diriwayatkan bahawa keseluruhan tentera Rom berjumlah 240000 dan tentera Islam 21000-24000.Maka para panglima mengutus surat kepada Saidina Abu Bakar r.a. memberitahu tentang besarnya jumlah tentera Rom dan Saidina Abu Bakar r.a. membalas surat mereka dan menyuruh mereka bersatu dalam satu pasukan dan di bawah satu pimpinan.

” Hendaklah kalian dalam satu pasukan dan hadapilah kaum musyrikin, sesungguhnya kalianlah Ansarullah dan Allah pasti akan menolong orang yang menolong agamanya. Sebaliknya Dia akan menghinakan orang-orang yang kafir terhadapnya. Sesungguhnya kalian tidak akan dikalahkan kerana jumlah kalian yang sedikit, tapi kalian akan dikalahkan disebabkan dosa-dosa kalian, maka jagalah kalian dari dosa-dosa kalian, dan hendaklah setiap panglima solat bersama pasukannya “

Apabila Heraklius mendengar berita dari tentera muslimin, maka dia juga menyuruh tenteranya bersatu.Pasukan depan dipimpin oleh pasukan Jarajah. Sayap kiri dan kanan oleh Bahan dan Al-Duraqis dan tentera penyerang dipimpin oleh Al-Faiqar. Tentera Rom bergerak ke Al-Waqusah berhampiran Yarmuk.

Saidina Abu Bakar juga menulis surat kepada Khalid bin Al-Walid supaya menuju ke Syam.Khalid menuju ke Syam dan apabila Khalid bin Al-Walid sampai ke Syam, terdengar khabar bahawa Bahan telah menerima bantuan dari Rom beserta pendeta Nasrani mereka untuk memberi motivasi kepada tenttera Rom.Maka bertambahlah bilangan tentera Rom menjadi 240000 orang. Manakala bagi pihak tentera muslimin, pasukan bantuan di bawah pimpinan Ikrimah bin Abu Jahal sehingga tentera muslim menjadi sekitar 30000 orang hingga 40000 orang. Inilah perang yang paling besar dalam sejarah peperangan Arab.

Persiapan Para Sahabat.

Khalid Al-Walid membahagikan kepada 30-40 pasukan di mana setiap pasukan berjumlah 1000 orang diketuai oleh seorang pemimpin kecil. Sayap kanan diketuai oleh Amru bin Al-As, sayap kiri oleh Yazid bin Abi Sufyan.Ketua perisikan ialah Qubbats bin Asyam. Ketua pemungut ghanimah ialah Abdullah bin Mas’ud. Qadhi tentera muslim ialah Abu Darda. Pemberi motivasi dan nasihat ialah Abu Sufyan manakala Qari tentera ialah Al-Miqdad bin Al-Aswad yang mengelilingi tentera muslim sambil membacakan Surah Al-Anfal.

Para sahabat saling mengingati antara mereka,menasihati antara mereka lantaran kerana besarnya jumlah tentera yang akan mereka hadapi.Saif bin Umar meriwayatkan dari sanad gurunya ” Dalam tentera Islam, terdapat 1000 para sahabat dan 100 daripada mereka adalah ahli Badar(6).

Perundingan Sebelum Perang.

1. Abu Ubaidah Al-Jarrah, Yazid bin Abu Sufyan, Dhirar bin Al-Azur, Harith ibnu Hisyam dan Abu Jandal bin Suhail bertemu dengan Tazariq untuk rundingan damai sambil berdakwah supaya memeluk Islam. Sayangnya pertemuan itu tidak membuahkan apa-apa hasil dan mereka kembali ke pasukan masing-masing.

2. Bahan telah berunding dengan Khalid bin Al-Walid, memujuk tentera Islam supaya pulang dengan tawaran setiap orang diberi 10 dinar,makanan dan pakaian dan pulang ke Madinah setiap tahun. Tetapi tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Khalid bin Al-Walid.

Ketika perang akan bermula, maka seorang panglima Rom yang bernama Jarajah menemui Khalid, untuk memeluk Islam. Setelah berdiskusi dengan Khalid, beliau masuk Islam, diajak ke khemah Khalid, mandi dan solat dua rakaat dan bersiap untuk berperang bersama tentera muslim.

Cerita tentang keberanian Zubair bin Al-Awwam

Diriwayatkan Zubair Al-Awwam adalah seorang yang berani sewaktu Perang Yarmuk. Beliau berseorangan menyerbu musuh, membunuh musuh sehingga keluar dari sisi musuh, kemudian masuk kembali dan keluar dari sisi yang lain sehingga berjumpa tentera muslimin kembali.Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya ( 7 )

Perang bermula dengan kedua pihak saling seran-menyerang. Sayap kanan tentera Islam diserang teruk oleh tentera Rom. Khalid Al-Walid yang memimpin sayap kiri maju membantu dan berhasil membunuh hampir 6000 orang musuh. Khalid menyerbu mereka dengan membawa 100 pasukan berkuda menghadapi 100000 tentera Rom. Serentak dengan itu, tentera Islam menyerbu dan mengkucar-kacirkan pertahanan tentera Rom. Tentera Muslim terus berjuang sehingga matahari terbenam dan mereka solat Zuhur dan Asar dengan isyarat sahaja. Khalid berjaya menguasai posisi tengah tentera Rom dan berjaya membubarkan pasukan pejalan kaki mereka. Tentera Rom lari bertaburan. Malam itu, saki baki tentera Rom lari menuju ke Waqusah.

Ibnu Jarir dan lainnya berkata ” Pada waktu itu, yang jatuh dan terbunuh mencapai angka 120000 orang. Sedangkan korban di pihak tentera Muslim sebanyak 3000 orang. Malam itu, Khalid bermalam di khemah perang Tazariq yang akhirnya mati terbunuh di medan perang. Pada hari itu, kegembiraan di pihak tentera Islam namun kegembiraan itu disertai dengan berita kesedihan iaitu berita kematian Saidina Abu Bakar r.a.

Ibnu Jarir At-Tabari dalam sanadnya berkata ” Sewaktu perang berkecamuk dengan hebatnya, datanglah utusan dari Hijaz berjumpa dengan Khalid memberitakan khabar kematian Saidina Abu Bakar r.a dan digantika oleh Saidina Umar Al-Faruq r.a. dan Umar mengarahkan agar Khalid Al-Walid digantikan oleh Abu Ubaidah bin Al-Jarrah. Khalid merahsiakan berita itu supaya semangat tentera Islam tidak jatuh.

Jasa-jasa Saidina Abu Bakar r.a dan kewafatannya.

1. Memerangi kaum murtaddin dan menyatukan perpecahan di kalangan umat Islam.

2.Mengumpulkan Al-Quran.

3.Menyebarkan dakwah Islam

Al-Hafiz Ibnu Kathir berkata(8) ” Abu Bakar wafat pada malam Isnin, dan ada pendapat lain mengatakan beliau wafat pada Maghrib malam selasa.Beliau mewasiatkan agar Umar r.a. menjadi penggantinya. Beliau memegang tampuk pemerintahan selama 2 tahun 3 bulan(9) dan meniggal pada usia 63 tahun.Beliau dimakamkan di samping makam Nabi dan jenazahnya disolatkan oleh Umar Al-Khattab.

[Rujukan Utama : Al-Bidayah Wan Nihayah oleh Ibnu Kathir]

(1) Tarikh At-Thabari Bab 3 M/s 343

(2) Sebuah negeri yang berada di antara Basrah dan Bahrain.

(3) At-Thabari berkata dalam kitabnya ” Kisah mengenai penaklukan Ubullah bertentangan dengan atsar-atsar yang sahih menurut ahli sejarah. Ini kerana daerah Ubullah berjaya ditakluk pada zaman Saidina Umar Al-Khattab di bawah pimpinan Utbah bin Ghazwan pada 14H.Namun menurut At-Thabari, penaklukan Ubullah oleh Khalid Al-Walid tidak sekaligus kerana ada sebahagian negeri yang melepaskan diri dari taklukan sewaktu pemerintahan Saidina Abu Bakar ketika Khalid keluar menuju ke Syam, dan daerah ini ditakluk kembali pada zaman Saidina Umar r.a.

(4) Suatu daerah yang terletak di tengah kota Basrah.

(5) Al-Baihaqi menyebutkan kisah ini dalam Dalail An-Nubuwwah Bab 6 M/s 326 dan Tarikh At-Tabari Bab 3 M/s 366.

(6) Tarikh At-Thabari Bab 3 M/s 397

(7)Sahih Bukhari, Fadhail sahabah, bab Manaqib Zubair Al-Awwam, hadith 3723, Fathul Bari 7/80.

(8) Tabaqat Ibnu Saad

(9)Tabaqat Ibnu Saad dan Tarikh At- Tabari

Advertisements

3 comments on “Abu Bakar r.a. dan Perluasan Negara Islam Part 2

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s