Memahami dengan hati


Mari kita melihat sejarah, dengan mata hati…

Kata Imam Abu Al-Qasim Al-Junaid:
“Sejarah merupakan salah satu tentera Allah yang akan menguatkan hati…”

Allah s.w.t. berfirman:
“Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu Dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang Yang beriman.”
Surah Hud 11: 120

1. Hadith I: Manusia seperti logam

“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham” (Sahih Muslim )

Nilai logam tidak akan berubah dalam mana-mana zaman. Sekiranya ‘jahil’, nilai itu akan menyokong jahiliyyah dan sebaliknya, sekiranya dia Islam, nilai itu akan menyokong Islam. Segalanya bergantung kepada kefahamannya.

Ramai yang mungkin mengetahui hukum Fiqh tetapi bukan memahami Islam itu sendiri. Sedangkan memahami Islam itu sendiri lebih penting sebelum mengetahui perkara-perkara lain termasuklah Ilmu Fiqh. Mari kita melihat kembali apa yang berlaku semasa tahun 60an, ramai pelajar-pelajar jurusan agama di Universiti Al-Azhar (ustazah-ustazah) yang banyak mengetahui soal hukum-hakam tetapi masih tidak memakai tudung menutup aurat. Mereka mengetahui hukum Fiqh tetapi masih tidak memahami Islam. Berbeza pula pada tahun 80an, ramai pelajar-pelajar lepasan UK yang pulang ke tanah air dengan keadaan bertudung menutup aurat (sebelumnya tidak). Mereka ini memahami Islam tetapi tidak menguasai ilmu Fiqh. Mereka yang memahami Islam akan mengamalkannya, sebaliknya yang tidak memahami akan meninggalkannya walaupun telah datang hujah dan pengetahuan.

Kita memahami hukum Fiqh melalui kuliyah-kuliyah ‘Fardhu ‘Ain’. Tetapi bagaimana kita mahu memahami Islam itu sendiri? Didiklah jiwa kita melalui proses usrah dan tarbiyyah.

2. Hadith II: Kebaikan bagi mereka yang faham

“Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam Ad-Din” (Sahih Bukhari ).

Kefahaman yang membawa kebaikan kepada seseorang ialah kefahaman mengenai Ad-Din.

“Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam…” (Surah Al-An’am 6: 125)

3. Al-Quran I: Memahami dengan hati (Surah Al-A’raf 7: 179).

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’raf 7: 179).

Hati yang menentukan kefahaman seseorang bukannya ‘otak’ manusia. Sebagai contoh, mereka yang membaca novel akan menghayati kandungan buku itu dengan menggunakan hati.
Sebaliknya, sekiranya kita membaca buku-buku akademik (Medic atau Physics), kita akan menggunakan akal untuk memahami. Apa yang difahami oleh hati akan pasti mempengaruhi kehidupan seseorang tetapi kefahaman daripada akal belum tentu akan mengubah kehidupan seseorang. Filem-filem romantik pasti menyentuh jiwa, menyebabkan manusia sedih dan gembira. Filem-filem dokumentari belum pasti dapat menembusi jiwa manusia.

Leave a comment